Thursday, 21 November 2019

Rumah Baharu Untuk Raja Maimunah

SHARE


Oleh : Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU, 21 November - Nasib Raja Maimunah Raja Cik, 69 warga emas yang sebelum ini tinggal di rumah yang berdindingkan kain di Kampung Kubang Bujuk, Manir telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun.

Raja Maimunah akhirnya berpindah ke rumah baharu yang lebih selesa dibantu oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta penduduk kampung.

Ustaz Hilmi berkata mendapatkan rumah baharu menjadi alternatif terbaik memandangkan tapak rumah lama adalah milik orang lain.

"Sebelum ini, pelbagai usaha telah dilakukan oleh Pusat Khidmat DUN Manir untuk membaiki dan membaik pulih rumah lama beliau termasuk membaiki tandas dan bahagian yang telah uzur tapi rumah itu bukan atas tanah miliknya dan menimbulkan beberapa kesulitan untuk terus melakukannya.

"Oleh sebab itu, kerajaan negeri dan pusat tidak dapat buat rumah atas tanah orang dan perkara itu telah mengelirukan bagi orang ramai yang tidak tahu sehingga menimbulkan isu tanpa mengetahui hakikat sebenar.

"Selain itu, Raja Maimunah turut mendapat bantuan am sejumlah RM200 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak 2010," katanya kepada Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di pejabatnya di Manir, di sini hari ini.

Tambahnya, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM juga pernah menyumbang sebanyak RM1000 pada 18 Februari lalu dan ini termasuk bantuan kewangan dan keperluan dapur dari pelbagai pihak.

"Kita harap dengan bantuan ini dapat memberi sinar baru kepada Raja Maimunah terutama di musim tengkujuh ini.

"Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada pihak yang cakna dengan kesempitan Raja Maimunah terutama  MAIDAM, Institut Modal Insan Negeri Terengganu (iMITS) dan Majlis Tindakan (MTD) DUN Manir serta Penghulu Mukim Manir yang telah berjaya menyelesaikan isu ini," ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: