Wednesday, 6 November 2019

RM624 Ribu Bantu Rakyat Marang, KT Kembangkan Projek Pertanian

SHARE
Seramai 188 penerima bantuan terdiri dari daerah Marang dan Kuala Terengganu.

Oleh : Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU, 6 November – Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) yang berjumlah RM2.46 juta terus berfungsi menyelesaikan masalah rakyat yang menghadapi kekangan kewangan untuk mengembangkan projek pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, skim berkenaan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila ramai masyarakat luar bandar yang terdiri daripada petani memohon bantuan itu.

Jelasnya, antara projek yang menjadi tumpuan utama pemohon ialah untuk projek penternakan lembu, kambing, ayam, arnab, itik dan dalam bidang ternakan air.

“Hari ini kita agihkan lagi kelulusan kepada 20 orang pemohon dari daerah Marang dan Kuala Terengganu dengan jumlah RM624,321. Seramai 118 pemohon telah menikmati faedah SBMT.

“Dalam sektor pertanian, kaedah pertanian fertigasi kelihatan menarik minat majoriti pemohon. Masyarakat nelayan pula memohon untuk pembelian enjin bot dan bot fiber,” katanya.
Dr Azman berucap sebelum menyampaikan SBMT kepada pemohon.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Bantuan Khas Bencana dan Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) 2019, di Balai Raya Kampung Kubang, petang semalam.

Hadir sama, Penegerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun.

Kata Dr Azman, SMBT juga berfungsi untuk mengeluarkan rakyat luar bandar daripada belenggu kemiskinan.

“Dana ini akan menjadi permulaan kepada setiap petani untuk terus berjaya dan menjadi golongan yang tidak berada dalam kelompok miskin tegar.

Menurutnya lagi, bagi pemohon yang belum mendapat kelulusan, pihaknya akan berusaha sedaya untuk mencari penyelesaian terbaik bagi mempercepatkan proses.

“Insya-Allah, kita akan usahakan segera supaya dana ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pemohon,” tambah beliau.


Dalam majlis berkenaan juga, sebanyak lebih RM33,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri telah disumbangkan kepada pemilik penternak ikan sangkar yang ditimpa bencana kematian ternakan pada 9 September lalu di Pulau Musang, Kuala Terengganu.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: