Saturday, 16 November 2019

RM500 Ribu Geran Penyelidikan Translasional Untuk SEATRU

SHARE
Sultanah Nur Zahirah berkenan menyempurnakan gimik penyerahan cek bernilai RM500,000 kepada Dr Mohd Uzair (kiri) disaksikan oleh Prof Dr Nor Eini (tengah).

KUALA NERUS, 16 November – Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Sultanah Nur Zahirah berkenan menyempurnakan penyerahan Geran Penyelidikan Translasional bernilai RM500,000 kepada Ketua Unit Sea Research Turtle Unit (SEATRU), Dr Mohd Uzair Rusli di Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen Ke-17 UMT, di TH Hotel di sini, semalam.

Dalam satu kenyataan media sempena majlis itu, Dr Mohd Uzair berkata, geran tersebut meliputi beberapa asas seperti kerjasama dalam bidang sains berkaitan penyu, usaha konservasi serta menyebarkan kesedaran kepentingan pemuliharaannya kepada masyarakat dalam tempoh dua tahun bermula Januari 2020.

Katanya, UMT sebagai sebuah universiti berfokus marin dan sumber akuatik terus meneraju dan sentiasa melakukan usaha melindungi hidupan marin terutamanya penyu yang menjadi kebanggaan masyarakat Terengganu.
Prof Dato' Dr Nor Aieni Haji Mokhtar.
Menurutnya SEATRU merupakan unit khas yang menjalankan projek penyelidikan dan pemuliharaan penyu di Chagar Hutang, Pulau Redang yang melibatkan pelbagai disiplin ilmu bagi memberi pulangan kepada komuniti dan pemegang taruh dan seterusnya mengekalkan kelestarian penyu.

Sementara itu dalam pendahuluan Majalah Berita SEATRU 2018, Naib Canselor UMT, Prof Dato' Dr Nor Aieni Haji Mokhtar berkata, universiti itu berbangga untuk meraikan bersama dengan unit itu pada ulang tahun ke-25 Penyelenggaraan Projek Penyelamatan Penyu bermula tahun 1993.

SEATRU katanya, telah pergi jauh dalam memelihara salah satu spesies ikonik Malaysia.

Menurut beliau, sejak dari kerja permulaan, membeli telur penyu dari pengumpul telur berlesen untuk inkubasi (pengeraman) di Chagar hutang, unit ini telah berkembang secara dramatik untuk menjadi projek pemuliharaan yang mampan tersendiri.

Prof Dato' Dr Nor Aieni berterima kasih kepada Jabatan Perikanan Malaysia kerana mewartakan Chagar Hutang sebagai Pusat Santuari Penyu dan sokongan berterusan jabatan itu, serta usaha dan sokongan yang ditawarkan oleh sukarelawan dari seluruh dunia.

“Kejayaan kerja pemuliharaan ini sejak itu telah diiktiraf oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNEP), hasil usaha bekas pengasas bersama Dr Chan Eng Heng dan Encik Lew Hork Chark dengan mendapat 500 gulung kepujian global pada tahun 2001.

“Kami amat menghargai usaha intensif Profesor Madya Dr Juanita Joseph dan Dr Mohd Uzair Rusli dan sokongan daripada pasukan penyelidik yang berdedikasi, sukarelawan yang bercita-cita untuk meneruskan legasi,” tulis beliau dalam majalah berita itu.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: