Thursday, 21 November 2019

RM400 Ribu Peruntukan Permulaan Kampung Budaya Terengganu

SHARE

Ariffin (kanan) bermesra dengan pelancong Indonesia dan Brunei Darul Salam di Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 21 November – Kerajaan Terengganu bakal mewujudkan satu Perkampungan Budaya di Muzium Negeri dengan kos permulaan sebanyak RM400,000 tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Budaya dan Teknologi Maklumat negeri Ustaz Ariffin Deraman berkata, perkambungan budaya itu akan dirasmikan Januari ini jika cuaca mengizinkan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka merasmikan kampung tersebut.

Ariffin (berdiri belakang) bersama pelancong dari Indonesia dan Brunei Darul Salam di Kuala Terengganu hari ini 
Katanya, Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak kira-kira RM2 juta untuk melaksanakan perkampungan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas meraikan 11 orang peserta Aseanmeet Post Tour – Terengganu dari Brunei dan Indonesia di Terradala di sini hari ini.

Peserta yang cukup teruja melawat Terengganu itu terdiri dari enam orang warga Indonesia dan lima orang warga Brunei Darul Salam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat itu berkata, perkampungan budaya itu dirancang mempunyai beberapa buah rumah dengan mengenakan kadar bayaran berpatutan dan diyakini ia menjadi satu lagi destinasi pelancongan terbaru di negeri Terengganu.

“Saya baru mengadakan mesyuarat bagi memuktamadkan pelaksanaan perkampungan budaya di Muzium Negeri itu dan dijangka akan menjadi daya tarikan baru pelancong ke Terengganu,” jelasnya.

Menjelaskan tentang pelancongan di Terengganu beliau berkata, sebenarnya banyak destinasi menarik yang perlu dilawati pelancong walaupun musim tengkujuh akan tiba tidak lama lagi.

Pelancongan Terengganu katanya, tidak terhad kepada pantai dan pulau sahaja tetapi produk lain termasuk makanan tradisional, kraftangan dan lain-lain boleh dinikmati pelancong bila-bila masa walaupun di musim tengkujuh.

“Pelancong luar dan dalam negeri boleh datang ke Terengganu walaupun di  musim hujan untuk melawat drawbridge yang diisytiharkan sebagai ikonik terbaru negeri itu,” jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: