Friday, 29 November 2019

Pindah Segera Jika Banjir - ADUN Ajil

SHARE
Maliaman menemui penduduk di Kampung Pengkalan Ajal dan Lubuk Periuk ketika turun meninjau situasi terkini banjir petang tadi


Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 29 November - Penduduk - penduduk yang terlibat dengan kawasan yang berisiko dinaiki air dinasihati berpindah segera di Pusat Pemindahan Banjir masing- masing  jika ada tanda-tanda paras air meningkat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, pihak terlibat hendaklah sentiasa peka dan bersedia dengan langkah awal terutamanya menyimpan barang- barang di tempat yang selamat dan membawa bersama dokumen - dokumen penting apabila diarah berpindah.

“Sekarang ini persiapan untuk menerima mangsa- mangsa banjir siap dilakukan dan kita sedang menanti mereka yang bakal dipindahkan di pusat pemindahan terutamanya di Pusat Pemindahan Pengkalan Ajal dan Lubuk Periuk.

“Kita juga sentiasa berjaga- jaga dan menjangka kemungkinan akan berlaku pemindahan sebentar lagi berikutan hujan lebat dan air semakin meninggi melintasi jalan.

“Apabila saya melalui kampung Lubuk Periuk jalan ditenggelami air dan ia menyukarkan perjalanan.

“Jadi kita nampak dua kampung ini sentiasa berjaga- jaga dan mengharapkan pihak yang terlibat seperti Polis, Bomba, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan persiapan makan dan minum sentiasa bersedia,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman selepas meninjau jalan yang dinaiki air di Kampung Pengkalan Ajal dan Lubuk Periuk, petang tadi.

Tambahnya, beliau juga mengharapkan orang ramai sentiasa peka dan mendapatkan maklumat semasa yang sahih disebarkan menerusi media sosial.

“Jadi kita harap orang ramai boleh membuat rujukan dengan pihak pengurusan bencana seperti Pejabat Daerah, Polis dan juga Bomba," tambahnya lagi.

Maliaman turut menasihati orang ramai memantau pergerakan anak- anak mereka supaya lebih berhati- hati dengan keselamatan anak- anak mereka di musim banjir ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: