Wednesday, 13 November 2019

Persinggahan Kapal Persiaran Masih Lagi Dalam Perbincangan

SHARE


KUALA TERENGGANU, 13 November – Kerajaan negeri masih dalam perbincangan dan belum membuat apa-apa keputusan berkenaan dengan persinggahan kapal persiaran bagi tujuan untuk menarik pelancongan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui ada pihak yang mencadangkan perkara tersebut namun ia masih dalam penelitian.

“Kita masih lagi dalam perundingan  untuk menentukan operator  syarikat pengendali mana dan apa pengisian- serta apa kekangan yang kita kenakan.

“Jadi saya belum boleh cakap samada apa yang ada dan apa yang tiada tu sehingga kita betul-betul buat keputusan dan berbincang balik,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mesyuarat Exco Kerajaan negeri di Wisma Darul Iman pada hari ini.

Namun begitu beliau menegaskan apa jua kegiatan mestilah menurut lunas peraturan kerajaan negeri dan  undang-undang persekutuan.

“Apa jua yang berlaku  dalam perairan di negeri Terengganu  ini haruslah  mengikut peraturan yang sedia ada di negeri Terengganu  dan  undang-undang di negara kita.

“Bukan  sekadar kegiatan dalam negeri tapi dalam negara kita,” ujarnya.

Beliau juga berkata, pada asasnya kerajaan negeri bersetuju untuk  membuka ruang kepada pengendali kapal persiaran singgah  di Terengganu.

“Tinggal lagi apa yang  boleh dan apa yang tidak boleh  apa yang perlu dibuat dan sebagainya.

“Jadi saya rasa tidak  ada lagi penitirannya,” tambah beliau.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: