KUALA TERENGGANU, 26 November- Persatuan Bola Keranjang
Malaysia (MABA) digesa membuat penjelasan lanjut berhubung tindakan memaparkan
bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,
permohonan maaf sahaja tidak mencukupi atas perbuatan biadap mereka
memperlekehkan bendera negara.
Beliau berkata, kenyataan maaf dibuat MABA pada laman
facebooknya itu terlalu ringkas atas kerosakan yang telah berlaku.
“Mereka harus menjelaskan kenapa keadaan ini timbul dan harus
memberitahu kepada masyarakat awam apakah langkah-langkah yang mereka akan
ambil supaya keadaan ini tidak berulang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu
tersebut selepas menyaksikan majlis penyerahan ‘mock-cheque’
bayaran balik pinjaman Golden Pharos Berhad kepada Terengganu Incorperated Sdn Bhd di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, perbuatan menghina bendera Malaysia
tidak sepatutnya berlaku kerana negara meraikan sambutan bulan kemerdekaan pada
31 ogos setiap tahun.
Katanya, Jalur Gemilang juga dikibarkan dengan megah di
seluruh negara sama ada di bangunan kerajaan dan bukan kerajaan termasuk di
sekolah-sekolah.
“Saya rasa sama ada perkara ini berlaku dengan sengaja
atau tidak sengaja, itu satu bab tetapi bab yang kedua ialah perasaan sayang
dan cintakan negara ini haruslah ianya menjadi ‘real’ bukan dibuat-buat jadi
saya rasa ini perkara yang lebih besar terutama untuk generasi yang akan
datang,” ujarnya.
Laporan media menyatakan, Jalur Gemilang berbucu lima itu dipaparkan pada skrin
ketika lagu negaraku dinyanyikan dalam acara pembukaan Piala Lum Mun Chak
anjuran MABA , semalam.
Klip video berdurasi 1 minit 42 saat itu mendapat reaksi
netizen sejurus selepas tular di laman sosial.
0 komen: