Saturday, 9 November 2019

Penubuhan MPKKP Wujudkan Ketidakharmonian Masyarakat - MB Terengganu

SHARE
Dr. Samsuri tidak mahu masalah baharu timbul dalam masyarakat.
KUALA TERENGGANU, 9 November - Langkah Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) bermula 1 Januari dilihat bakal menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan, ia suatu langkah ke belakang yang jelas bertentangan dengan objektif untuk mewujudkan perubahan dalam masyarakat supaya lebih harmoni.

“Langkah mengadakan satu MPKK yang lain dalam keadaan MPKK sedia ada sedang berjalan menunjukkan kita kembali kepada keadaan asal  yang berlaku pada tahun-tahun terdahulu.

“Tindakan ini menimbulkan kesenjangan (ketidakseimbangan) dalam masyarakat. Ia tidak akan membawa kita ke mana-mana dan kalau kita bercakap tentang negara Malaysia yang kita ingin berubah ke arah lebih maju, kita sebenarnya kembali membina mentaliti kelas ketiga,” katanya.

Dr. Samsuri, Tuan Faizah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Zahari bergambar bersama bayi pertama 'Permata Maulidur Rasul', Irsyad Daiyan Mohd Noor Afifi dan ibunya, Emi Tajlia Rosli. 
Beliau turut menyatakan, Kerajaan Pusat seharusnya mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukan sebaliknya dengan cuba mewujudkan masalah baharu dalam masyarakat.

“Kalau ada masalah dari segi kerjasama, saya rasa ia boleh ditangani dengan perbincangan dan pertemuan serta siri-siri pendekatan sama ada dari mana-mana pihak.

“Kita juga sudah beri ruang untuk tambahan ahli yang dicadangkan oleh Kerajaan Pusat. Tapi mereka buat keputusan berbeza yang pada saya itu adalah langkah ke belakang melebarkan suasana dalam masyarakat,” jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu turut memaklumkan, MPKK yang dilantik kerajaan negeri tetap akan menjalankan tugas seperti biasa.

“Perbincangan mengenainya sedang dilakukan dan sekiranya ia dilaksanakan, perkara ini akan mewujudkan masalah baharu dalam masyarakat.

“Pada saya, hubungan kerajaan negeri dan pusat tidak akan berubah, cuma kebimbangan saya apa yang berlaku di bawah. Ia akan menimbulkan banyak perkara yang negatif di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam kunjungan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sempena program ‘Permata Maulidur Rasul’ Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir dalam kunjungan itu, pemimpin-pemimpin tempatan serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Dalam program anjuran Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu itu, Dr. Samsuri bersama isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman turut menyampaikan cenderamata kepada 44 bayi yang lahir bersamaan sambutan Maulidur Rasul, hari ini.  






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: