Wednesday, 6 November 2019

Pengusaha Timun Kecil Terharu Terima Bantuan Pertanian

SHARE
Ahmad Syukri berhasrat untuk mengembangkan lagi projek fertigasinya di kampung.

Oleh : Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU, 6 November - Pengusaha timun kecil, Ahmad Syukri Abu Bakar terharu apabila permohonannya untuk mendapatkan Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) diluluskan kerajaan negeri.

Ahmad Syukri berkata, apabila mendapat maklumat tentang skim yang ditawarkan kerajaan negeri itu dia terus membuat permohonan bagi mengembangkan projek fertigasinya di Seberang Penjara, di sini.

“Alhamdulillah, permohonan saya telah diluluskan oleh kerajaan negeri sebanyak RM34,941,’’ katanya yang begitu teruja setelah dua tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas Bencana dan SBMT 2019, di Balai Raya Kampung Kubang, petang semalam.

Ahmad Syukri yang sebelum ini berkhidmat dalam bidang berbeza di Kuala Lumpur menceburi sektor pertanian setelah mendapati fertigasi mempunyai potensi tinggi.

Katanya, selain memberi manfaat pada diri sendiri dan keluarganya, projek pertanian yang diusahakan itu juga mampu membantu masyarakat di kampungnya.

“Sangat gembira sebab saya melihat pertanian ini berpotensi untuk dibangunkan dan kerajaan negeri memberi sokongan yang padu kepada kami.

“Di samping hasil untuk diri sendiri ia juga untuk manfaat  orang ramai. Dengan bantuan ini, saya ingin mengembangkan projek pertanian saya dengan tanaman cili.

“Alhamdulillah, setakat saya buat fertigasi ini sokongan, nasihat dan didikan dari kawan-kawan, Pertubuhan Peladang amat membantu saya.  Hasil pun agak lumayan hingga mencecah RM6000 hingga RM7000 untuk dua bulan,” tambahnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: