Saturday, 23 November 2019

'Pendakwah Mesti Turun Ke Lapangan Masyarakat' - Dr Zulkifli Al-Bakri

SHARE
Dr Zulkifli.

KUALA TERENGGANU, 23 November – Ilmuan Islam serta pendakwah disaran bergerak aktif turun ke lapangan masyarakat untuk menyampaikan syariat agama.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, setiap pendakwah tidak seharusnya merasa selesa dengan hanya menyebarkan ajaran Islam di tempat tertentu tanpa bertemu rakyat.

“Kadang-kadang kita berdakwah dalam ruang lingkup yang kita rasa selesa seperti masjid, surau, madrasah dan pondok sahaja.

“Baru-baru ini kami (pejabat Mufti) melakukan satu aktiviti ke stadium bola sepak, di sana kami mengajak penyokong menunaikan solat sebelum perlawanan bola, dan alhamdulillah ramai orang yang turut serta solat berjemaah, dan sebelum ini kamu juga aktif menyantuni golongan LGBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai ahli panel dalam Program Ijtimak Duat (Pendakwah) Terengganu sempena Kembara Melestarikan Itqan Al-Muluk Bita'dil as-Suluk (KALIMAT) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menekankan supaya para pendakwah memiliki ilmu yang tinggi dan mendalam dalam bidang tertentu.

Lebih-lebih lagi katanya, agamawan hari ini menghadapi pelbagai cabaran dalam menyebarkan Islam termasuk apabila timbulnya isu-isu baharu berkaitan hukum agama.

“Pendakwah yang baik ialah mereka faqih dalam beberapa bidang ilmu seperti ilmu politik dan ekonomi.

“Dengan ilmu yang tinggi, masyarakat lebih mudah memahami apa yang kita sampaikan dan akan tertarik dengan keindahan Islam,” tambah beliau.

Ijtimak yang dihadiri lebih 1,000 peserta itu turut menampilkan pendakwah terkenal, Ustazah Asma Harun sebagai panel bagi mengupas situasi dan cabaran dakwah di Malaysia.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: