Tuesday, 12 November 2019

Pendakwah Digalak Manfaatkan Media Baharu

SHARE
Mohd Nor Hamzah. Foto oleh - Syafiq Syakirin.
MARANG, 12 November – Orang ramai digalak untuk memanfaatkan media baharu dalam berdakwah kerana ia lebih pantas dan sebarannya meluas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Beliau berkata, cabaran dan suasana masa kini memerlukan pendakwah yang mampu menguasai teknologi semasa agar penyampaian dakwah kepada masyarakat menjadi lebih berkesan.

“Biar kita menggunakan media baharu sebagai pendakwah dan medan tersebut adalah sebagai medium dakwah kita.

“Kita panjangkan apa sahaja yang berkaitan Islam kepada orang ramai, gunakan ‘whatsapp’, ‘facebook’, dan media-media sosial yang lain untuk sampaikan kebenaran,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Daie Ummah Bersama Komuniti dan Penyerahan Waqaf Al-Quran di Dewan Sivik Bukit Payung di sini, hari ini.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, perubahan persekitaran, letusan maklumat dan lambakan gajet berteknologi, memberi lebih ruang kepada masyarakat untuk terdedah kepada maklumat yang tidak benar.
I-MiTs setiap DUN menerima naskah al-Quran.
Katanya, kemunculan pelbagai media sosial yang dilihat semakin hebat dan berpengaruh serta mampu membentuk pemikiran masyarakat adalah cabaran besar yang harus diterokai dan dimanfaat sepenuhnya dalam kerja-kerja dakwah.

“Biar kita yang cetuskan gelombang itu dan kita yang menjadi pendakwah, Insya-Allah besar ganjarannya untuk kita,” tambah beliau.

Program anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dihadiri kira-kira 200 pendakwah termasuk imam, guru Kelas al-Quran dan guru agama di daerah ini.

Sumbangan berbentuk barangan keperluan rumah turut diagih kepada 50 keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung.
Keperluan harian turut disalur kepada 50 keluarga miskin.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: