Wednesday, 20 November 2019

Penantian 100 Peserta Kampung Baru Sungai Binjai Kini Berakhir

SHARE



Sebahagian peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru Sungai Binjai bersama Borang 5A bersama YB Maliaman, semalam 



Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 20 November - Penantian selama 49 tahun peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru Sungai Binjai berakhir apabila seramai 100 peserta menerima Borang 5A, di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, pendekatan ini diambil oleh pihak berkaitan setelah sekian lama masalah ini berlarutan untuk  menyelesaikan isu hak milik tanah tersebut.


“Mereka menduduki tanah ini sejak awal 1970,  meneroka secara haram dengan bercucuk tanam dan mendirikan rumah serta mengemukakan permohonan tetapi tidak diberi hak milik.

“ Permohonan mereka pernah ditolak dan kita mengambil langkah ke depan apabila kerajaan baharu mengambil alih, saya bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berusaha untuk menyelesaikan masalah ini, “katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Penyerahan Borang 5A di Dewan Serbaguna Kampung berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Terengganu, Azizul Abdul Hadi, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Hulu Terengganu,  Rasdan Muda, Penghulu Mukim Tanggol dan Diman, Jefridin Salleh dan Pengerusi MPKK Kampung Baru Sungai Binjai, Rafi Abdullah.

Beliau menjelaskan, peserta yang menerima borang ini hendaklah membayar premium harga tanah sebanyak sepuluh peratus secara teorinya akan mendapat geran segera.


Antara peserta Kampung Baru Sungai Binjai yang menerima Borang 5A semalam

“Jadi mereka yang menerima borang ini mestilah membayar premium bagi diproses untuk memiliki dokumen atau geran tanah yang sah.

“Walaupun begitu, masih terdapat baki seramai 65 orang lagi peserta tidak mengisi borang kerana tidak yakin dengan usaha ini kerana dijanjikan dengan harapan palsu oleh kerajaan sebelum ini bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan betul.

“Alhamdulillah kita berjaya mengambil pendekatan menyelesaikan masalah ini yang berlarutan sekian lama dan generasi pertama yang meninggal dunia dapat diwarisi oleh anak- anak mereka, “ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: