Sunday, 3 November 2019

Pejabat Daerah Kuala Terengganu Komited Bangunkan Industri Pelancongan

SHARE
Zulkifli memukul gong sebagai gimik perasmian Pekan Budaya Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 3 November - Pejabat Daerah Kuala Terengganu ( PDKT) terus komited untuk membangunkan industri pelancongan dalam daerah ini dalam usaha untuk membangunkan industri pelancongan dan kebudayaan ini yang menjadi penyumbang kedua terbesar kepada Pendapatan Negeri Kasar (PNK) selepas petroleum.

Pegawai Daerahnya, Zulkifli Ali berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta berganding bahu bersama Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu untuk menjayakannya.

“Bagi membuktikan lagi komitmen kita pada industri ini, PDKT telah menyenaraikan beberapa produk dan tempat yang berpotensi untuk dimasukkan dalam Kalendar Tahun Melawat Terengganu 2020, iaitu Pesta Bot Penambang, Pesta Beca Roda Tiga, menaiktaraf Bukit Besar sebagai “Menara Tinjau” semulajadi (selain daripada Skybridge utara dan Skybridge selatan yang terdapat di Drawbridge di muara Sungai Kuala Terengganu) untuk menikmati panorama Bandaraya Kuala Terengganu selain dari menjadi tempat rekreasi yang paling popular dikunjungi.

“Dalam masa yang sama turut memperkenal dengan lebih kerap kebudayaan Cina Peranakan, Mek Awang dan Kampung Cina secara lebih menarik supaya kebudayaan yang unik ini lebih mudah dikenali,” beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jom Singgah Pekan Budaya Daerah Kuala Terengganu (PBDKT) Tahun 2019, di Pesisir Payang, di sini semalam.



Terdahulu, seramai 1,025 peserta yang terdiri dari 205 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Kuala Terengganu menumbuk sambal menggunakan lesung batu dan membuat Temalung secara serentak untuk Malaysia Books Of Record ( MBOR) di lokasi yang sama.

Zulkifli juga turut mengalu-alukan usaha yang dibuat oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk menubuhkan Rumah Kebudayaan Daerah bagi setiap daerah yang berfungsi sebagai “One Stop Centre” kebudayaan dan pelancongan yang menghimpunkan semua kebudayaan yang ada dalam satu-satu daerah.



“Semuanya dikumpulkan setempat untuk memudahkan para pengunjung melawat mengikut waktu-waktu dan ciri-ciri kebudayaan tertentu yang disediakan di Rumah Kebudayaan Daerah berkenaan malah inisiatif ini penting bagi memudahkan para pelancong untuk lebih mengetahui dan mengenali satu-satu produk budaya dan pelancongan dalam setiap Rumah Kebudayaan Daerah yang diwujudkan.

“Bagi daerah Kuala Terengganu, Alhamdulillah, Muzium Negeri telah dipilih sebagai Rumah Kebudayaan Daerah Kuala Terengganu bagi memenuhi maksud dan tujuan di atas,” ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, ini adalah peluang untuk rakyat daerah Kuala Terengganu khususnya dan negeri Terengganu amnya untuk mengambil bahagian mengeksploitasi peluang ekonomi yang ada dalam bidang ini mengikut kemampuan dan kemahiran masing-masing.

“Peluang hebat yang terhidang di depan mata kita ini perlu disambut dengan sebaik-baiknya oleh penduduk Kuala Terengganu khususnya dan negeri Terengganu amnya supaya dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan yang sedia ada,” kata Zulkifli.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: