Thursday, 14 November 2019

Pegawai Seranta EPIC Tokoh Maulidur Rasul Kemaman

SHARE

Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 14 November - Pegawai Seranta EPIC Berhad, Ustaz Ali Mohammad dianugerahkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kemaman Tahun 1441 Hijrah/2019.

Beliau yang berusia 68 tahun mempunyai 9 orang anak dan merupakan seorang pesara guru, pengerusi masjid, hakim tilawah al-Quran peringkat negeri dan daerah serta Ketua Urusan Ulama Kemaman.

Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Kemaman yang diadakan di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim bertemakan 'Negara Rahmah Ummah Sejahtera'.


"Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk menunjukkan kegembiraan dan keagungan terhadap hari kelahiran Nabi Muhammad SAW.

"Ianya juga bagi menunjukkan rasa syukur kita terhadap Allah SWT kerana mengutuskan seorang Utusan bagi memimpin kita ke jalan yang benar," ucap beliau.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam menjayakan majlis ini dan juga ucapan tahniah kepada mereka yang dipilih dan menerima penganugerahan sempena Sambutan Maulidur Rasul kali ini.


Anugerah Masjid Terbersih disandang oleh Masjid As Syakirin, Telok Kalong dan Surau Terbersih disandang oleh Surau Taman Baiduri Geliga.

Manakala Anugerah Imam Cemerlang dimiliki oleh Ibrahim Abdullah imam Masjid Beris Meraga, Bilal Cemerlang oleh Ismail Embong bilal Masjid Neram Satu.

Juru Mandi Jenazah Aktif Lelaki dianugerahkan kepada Mohammad Muda, Juru Mandi Aktif Wanita kepada Iunaidah Mohd dan Anugerah Khas disandang oleh Sarimah Abdullah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: