Monday, 18 November 2019

Operasi Bersepadu Belum Dilaksanakan - Mohd Nurkhuzaini

SHARE
Mohd Nurkhuzaini (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Zon Timur di pekarangan Dataran Shah Bandar Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak penguatkuasa untuk mengadakan operasi bersepadu bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga di simpang lampu isyarat seluruh negeri itu kerana tempoh mereka mencari alternatif perniagaan mereka sudah berakhir pada 1 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri telah memaklumkan kepada mereka terbabit bahawa menjual dan membeli di kawasan tersebut bercanggah dengan Akta Peraturan Lalu Lintas 1959.

Katanya, akta itu antara lain tidak membenarkan sebarang aktiviti jual beli dibuat di mana-mana kawasan tersebut.

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Menurutnya, kerajaan negeri menyarankan kepada mereka terbabit supaya mencari alternatif lain bagi meneruskan perniagaan di kawasan lain dan mengelakkan dari dikenakan tindakan undang-undang.

“Setakat ini tidak ada lagi operasi bersepadu dibuat bagi menghalang akitiviti perniagaan itu dijalankan di kawasan yang bercanggah dengan undang-undang sedia ada,” katanya ketika bercakap kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Zon Timur 2019 di pekarangan Dataran Shah Bandar di sini semalam.

Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu berkata, pihak peniaga berkenaan tidak harus menyalahkan kerajaan negeri jika operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama semua agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Johan Food Truck Bizz Challenge (kanan) menerima hadiah dari Mohd Nurkhuzaini (dua dari kanan).
Ini kerana katanya, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Negeri Terengganu mewakili peniaga berkenaan dan telah menetapkan tempoh lebih dari sebulan bagi tujuan mereka beralih arah atau mencari port lain untuk menjalankan perniagaan mereka.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan agensi-agensi berkaitan bagi mencari tapak baharu yang sesuai dan tidak bercanggah dengan undang-undang supaya mereka terbabit dapat meneruskan perniagaan menjual jeruk itu.

“Tapak yang dikenal pasti untuk tujuan itu yang dicadangkan kerajaan ialah kawasan lapang berhampiran drawbridge.

“Di musim cuti sekolah umpamanya ramai pengunjung berada di situ dan mereka berpeluang untuk menjalankan perniagaan tersebut di situ,” jelasnya.

Kerajaan negeri katanya, mempunyai perancangan jangka panjang untuk membangunkan kawasan itu sebagai tapak baharu perniagaan tetapi ia memakan sedikit masa untuk dilaksanakan.

Justeru sebelum projek itu dapat dilaksanakan, para peniaga jalanan itu boleh bertukar tempat dari simpang lampu isyarat ke kawasan tersebut.

“Mereka boleh berniaga di situ dalam jangka masa dua tahun sebelum rancangan jangka panjang itu dilaksanakan kerajaan.

“Mungkin mereka berdepan dengan musim tengkujuh tetapi cuaca buruk tidak akan berlaku sepanjang masa,” ujarnya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: