Sunday, 3 November 2019

Nostalgia Temalung Daun Pisang Galer

SHARE
 Nuraqillah Khairuddin, 19, dari Banggol Peradong, Manir menunjukkan Temalung yang dihasilkan olehnya sebagai bekas mengisi laksam



KUALA TERENGGANU, 3 November - Mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan Temalung yang sering digunakan oleh nenek moyang dahulu untuk meletakkan makanan yang telah siap dimasak oleh mereka.

Temalung adalah bekas untuk mengisi kuih yang diperbuat daripada daun pisang dan berbentuk seakan-akan bakul yang dikemaskan menggunakan lidi.

Paling istimewa, dikatakan hanya daun pisang galer sahaja yang sesuai dijadikan Temalung kerana teksturnya yang lembut dan tidak mudah pecah.

Aneka bentuk Temalung yang dihasilkan oleh peserta MPKK

Wan Zaimah Wan Sembok, 70, yang menetap di Pulau Duyung Besar berkata sejak dia kecil lagi, Temalung sering digunakan oleh  ibunya untuk mengisi kuih muih samada untuk hidangan keluarga atau diberi kepada jiran tetangga.

"Dulu orang-orang lama guna daun pisang galer yang dibentuk jadi bakul mengikut bentuk dan kreativiti sebagai bekas untuk isi kuih atau mangkuk untuk menikmati hidangan tertentu seperti laksa.

"Maklumlah dulu mana ada 'tupperware' macam sekarang ni, jadi daun pisang lah penggantinya namun ia cukup istimewa sebab memberikan aroma wangi kepada makanan yang diletakkan didalamnya.Terima kasih kepada pihak berkenaan yang adakan program seperti ini kerana ia berjaya bangkitkan nostalgia zaman muda mak cik," ujarnya.

Wan Zaimah berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui di Program Jom Singgah Pekan Budaya Daerah Kuala Terengganu Tahun 2019, di Pesisir Payang, di sini hari ini.

Wan Zaimah Wan Sembok


Terdahulu, seramai 1,025 peserta yang terdiri dari 205 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Kuala Terengganu menumbuk sambal menggunakan lesung batu dan membuat Temalung secara serentak untuk Malaysia Books Of Record ( MBOR) di lokasi yang sama.


Bagi Nuraqillah Khairuddin, 19, dari Banggol Peradong, Manir pula berpendapat tidak ramai yang tahu bahawa, perubahan zaman seiring membawa perubahan gaya hidup, perubahan dalam cara pembungkusan makanan di kalangan masyarakat yang mula dipelbagaikan sehinggakan generasi hari ini tidak kenal lagi tradisi nenek moyang mereka.

"Temalung mungkin satu nama asing dikalangan anak-anak muda di zaman serba canggih ini tapi saya bersyukur sebab masih berpeluang mengenali seni tradisi daripada ibu yang masih menggunakannya di rumah.

"Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam dan kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita.Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri,"ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: