Thursday, 14 November 2019

MPKK Rantau Abang Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Banjir

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 14 November- Semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di tempat masing-masing pada musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusi MPKK Alor Mak Bah Batu Putih, Abdul Aziz Mohammad memberitahu sebagai persiapan pihaknya telah memberi taklimat di surau-surau di dalam komuniti supaya mereka berjaga-jaga dan tindakan yang sepatutnya diambil sekiranya berlaku hujan lebat.

"Memandangkan kawasan yang kebiasaannya terlibat dengan banjir adalah pertanian tanaman kontan, sekarang penduduk kampung sudah menuai tanaman mereka dan sudah berhenti bertanam, tunggu sehingga tahun depan," ujarnya.

Selain itu, katanya lagi, parit tali air di sekitar kampung tersebut  juga telah dibersihkan.

"Hasil sumbangan penduduk kampung, kami telah menyewa sebuah ’excavator’ untuk kerja - kerja pembersihan parit," jelasnya.

Manakala Pengerusi MPKK Che Lijah, Ibrahim Senik, memberitahu pihaknya bersama masyarakat kampung telah mengadakan gotong-royong membersihkan longkang dan parit daripada tersumbat.

"Dengan kerjasama masyarakat kampung, kita telah berjaya membersihkan parit tali air sehingga ke pintu Pengkalan Jering ," ujarnya.

Sementara itu, MPKK  Kampung Wa, Abdul Wahab Idris, memberitahu, memandangkan Kampung Wa sentiasa di tenggelami air di musim tengkujuh, semua bekalan barang keperluan harian dan ubat-ubatan telah ada dalam simpanan.

Manakala Pengerusi MPKK Batu Tiong, Mohd Ali Muda pula memberitahu, "MPKK Batu Tiong telah bergotong royong menambah tandas di Pusat Pemindahan Banjir di Balai Raya Batu Tiong yang sebelum ini hanya ada satu sahaja dan ditambah dua.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: