Wednesday, 13 November 2019

MPKK Persekutuan : Mana Hitam Putihnya? - Dr Azman Ibrahim

SHARE
Dr Azman Ibrahim.

Oleh : Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU, 13 November – Makluman rasmi berkenaan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) oleh kerajaan Pusat di negeri Terengganu masih belum diterima.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berkaitan penubuhan jawatankuasa tersebut.

Malah tegasnya, sehingga kini kerajaan Terengganu juga tidak dimaklumkan sebarang info berkaitan isu berbangkit atau masalah besar tentang MPKK Terengganu sehingga mewajarkan MPKKP ditubuhkan.

“Sewaktu ingin menubuhkan MPKK dulu, kita ada surat dan minit mesyuarat. Tetapi penubuhan MPKKP ini di mana punca kuasanya, tidak munasabah boleh ditubuhkan 
secara atas angin sahaja dan tiada kenyataan rasmi daripada Menteri.

“MPKK di bawah KPLB. Bukan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Kenapa Timbalan Menteri KPKT yang rancak mengeluarkan kenyataan,” soal beliau menerusi laman ‘Facebook’ rasminya, hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat Jemaah Menteri pada 27 Jun tahun lalu telah memutuskan bahawa perlantikan MPKK adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Jelasnya, perbincangan tersebut juga tidak menyatakan bahawa negeri Terengganu, Kelantan, Pahang dan Perlis tidak layak untuk menubuhkan MPKK sendiri.

“Bukan kita campur urusan kerajaan Persekutuan. Tapi Kerajaan Persekutuan perlu hormat kepada keputusan Jemaah Menteri mereka sendiri.  

“Atas punca kuasa inilah, Terengganu dan negeri-negeri lain menubuhkan MPKK, pada 1 Julai 2018, sempurnalah pembentukan MPKK di Terengganu yang menjadikan negeri yang pertama menyelesaikan pelantikan MPKK.

“Kita bertindak berdasarkan apa yang diputuskan bersama dalam mesyuarat. Kalau ada apa-apa isu berbangkit berkaitan MPKK di Terengganu khususnya, kita boleh bincang secara bersama dalam kerangka kerjasama kerajaan (Pusat) dengan kerajaan (negeri),” ujarnya.

Baru-baru ini, wujud satu laporan yang mengatakan MPKKP akan berkuat kuasa dan memulakan tugas pada Januari 2020 di bawah KPLB.

MPKKP akan diwujudkan di empat negeri yang bukan di bawah kerajaan Persekutuan, manakala MPKK tidak lagi di bawah tanggungan kerajaan serta pihak negeri boleh meneruskan dengan pembiayaan sendiri.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi PH Terengganu yang juga Timbalan KPKT dikatakan sedang melakukan proses mengenalpasti individu yang layak dan berpotensi untuk mengisi jawatan dalam 1,046 MPKKP negeri itu.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: