Wednesday, 6 November 2019

MPKK Mata & Telinga Polis Tangani Jenayah

SHARE
Ketua Polis Kemaman menjawab soalan yang dikemukakan penduduk dengan jelas dan tepat.
KEMAMAN, 6 November - Rakyat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diseru menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ pihak berkuasa dalam usaha memulihkan komuniti setempat daripada pelbagai jenayah yang berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menegaskan bahawa tiada orang yang boleh memastikan keamanan dan menjaga keselamatan masyarakat melainkan tugas itu diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang memiliki kemampuan dan kepakaran dalam hal tersebut.

“Kita sebagai rakyat terutama MPKK pula perlu berperanan memastikan apa-apa isu jenayah yang berlaku dalam kampung disampaikan kepada pihak polis.

“Dukacitanya, daerah Kemaman walaupun maju dengan pelbagai industri merupakan daerah yang memiliki masalah dadah paling tinggi dalam negeri Terengganu dan inilah yang merunsingkan kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra & Sesi Dialog PDRM bersama pemimpin masyarakat di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini kelmarin.

Hanafiah harap masyarakat Kemaman bekerjasama dalam menangani jenayah terutama kes dadah di daerah itu.
Dalam masa yang sama, Hanafiah berbesar hati dengan kesudian pihak Polis Kemaman turun mengetengahkan pelbagai pandangan dan berkomunikasi dengan rakyat untuk bersama-sama menangani jenayah.

“Dadah adalah punca kebanyakan jenayah di daerah kita. Lazimnya, apabila terlibat dadah rangkaiannya akan jadi lebih banyak dengan wujudnya kecurian, rompakan, keganasan kepada ibu bapa, bahkan sehingga tahap membunuh.

“Malam ini, kita mahu pihak polis mengemukakan rancangannya dan kita bagi pendapat bagaimana untuk memulihkan kampung dan daerah kita,” nasihatnya.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Chukai itu turut mengakui bahawa masyarakat kampung dan pinggir bandar suatu ketika dahulu merasakan hubungan yang sangat ‘jauh’ dengan pihak berkuasa itu.

Hanyan menunjukkan laporan statistik polis berkaitan jenayah daerah Kemaman kepada Hanafiah sambil diperhatikan pegawai daerah, Mohamed A. Rahman@Othman (kanan).
“Namun, berpandukan motto ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’ memberikan tanggapan baru dan hari demi hari rakyat merasakan polis adalah rakan mereka yang boleh diminta serta diberi pandangan,” katanya.

Dalam program berkenaan, Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan bertindak sebagai panel utama yang menjawab pelbagai soalan dan pandangan daripada sekitar 300 penduduk yang hadir.

Majlis itu turut dihadiri ADUN-ADUN daerah Kemaman, pemimpin tempatan serta kakitangan MPK dan Pejabat Daerah Kemaman.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: