Tuesday, 26 November 2019

Modul Hadkan Umur Minimum Kahwin Diharap Tidak Menutup Ruang

SHARE

Satiful Bahari Mamat.

KUALA TERENGGANU, 26 November - Modul mengenai penetapan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengehadkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun diharap tidak menutup ruang pasangan bawah umur untuk berkahwin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat berkata, SOP ketat yang akan diperkenalkan kerajaan persekutuan itu dibimbangi akan membawa kepada masalah sosial seperti kehamilan luar nikah.

“Perempuan yang akil baligh sekarang ini kebiasaannya berada pada lingkungan umur 13 hingga 14 tahun.

“Sebelum ini Terengganu pernah ada kes remaja perempuan yang masih bersekolah didapati mengandung anak luar nikah, jadi itu adalah risiko yang perlu diteliti dalam isu ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan, modul yang sedang disiapkan itu akan menjadi garis panduan mengenai perkahwinan untuk dipatuhi semua negeri dan menjadi kesalahan dari segi undang-undang jika SOP itu tidak diikuti.

“Modul itu sudah kita bincangkan pada peringkat Jawatankuasa Persekutuan yang dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatan,” katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar walau bagaimanapun turut berkata, sekiranya ada negeri yang mahu meneruskan perkahwinan bawah umur 16 tahun, ia mestilah mematuhi SOP yang ketat.







SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: