Wednesday, 13 November 2019

Mi Lejen Warung Nangka, Sedak Ngat

SHARE


KUALA TERENGGANU, 13 November -Keenakan  mi bandung atau goreng sudah tentu daripada rasanya yang manis, sedikit pedas, berlemak serta aromanya yang memberikan kenikmatan berbeza. Bagi penggemar masakan ini pastinya sudah mengetahui antara bahan yang wajib ada dalam hidangan kegemaran mereka.

Jika anda seorang penggemar kedua-dua hidangan ini , bolehlah mencubanya di Warung Nangka yang terletak di Jalan Jail berhampiran Stesen Bas Kuala Terengganu, di sini.

Keenakan dan keunikan rasanya lain daripada yang lain, dengan dihasilkan menggunakan resepi asli turun temurun.yang diwarisi dari keluarga sejak 1980 lagi. Hanya mereka yang makan dan mencubanya sahaja dapat mencari perbezaan mi Warung Nangka ini, berbanding kedai lain.

Uniknya, pelanggan akan dapat merasai keenakan secukupnya ketika menikmati mi goreng yang dibalut sebati oleh perencah asli selain kenikmatan menghirup kuah mi yang disertakan dengan dua pilihan iaitu sayap atau kaki ayam.

Mi gorengnya yang disediakan dengan  menggunakan beberapa bahan sahaja pasti tidak lengkap tanpa kuah yang sedap, pekat dan tidak terlalu pedas dan manis itu, sudah pasti tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, ditambah pula dengan jeruk lada, menambahkan lagi keenakan rasanya.

Mohd Taufik 

Menurut pemiliknya, Mohd Taufik Ahmad, rahsia keenakan kedua-dua jenis mi yang terdapat di kedainya  terletak kepada kuah dan sos yang dibuatnya sendiri menggunakan resepi keluarga.

Katanya yang merupakan generasi kedua pewaris perniagaan keluarga, hidangan tersebut sangat sedap di makan bersama kuah sos yang dihasilkan sendiri dengan menggunakan cili giling, tomato dan beberapa bahan masakan lain yang istimewa hasil ciptaan arwah ayahnya Ahmad Said yang mendapat ilham setelah melawat beberapa tempat sebelum membuka perniagaan itu.

“Yang paling utama adalah air rebusannya yang menggunakan tulang daging, ayam dan udang memberikan keunikan kepada kuah sos ini termasuk teknik rebusannya yang bermula seawal pagi setiap hari.

“Semua orang boleh buat mi goreng atau mi bandung, tetapi rasa kuah dan sos yang dihasilkan sendiri secara turun-temurun tidak akan sama dengan kedai lain.  Yang pasti saya bagi gerenti jika makan mi di kedai saya, anda tidak akan dapat rasa dekat tempat lain, tidak akan sama rasa kuah dan sos di kedai kami dengan tempat lain, itupun jika ada,” katanya kepada Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di warungnya, baru-baru ini.

Setiap hari, Taufik menyediakan 20 kilogram mi dan 20 kilogram kuetiaw dengan dibantu oleh tujuh pekerja dan mampu menjana pendapatan lebih RM1,500 sehari dan meningkat sekali ganda terutama di musim cuti.


Katanya, kedainya menyediakan mi bandung, mi goreng dan kuetiaw goreng dengan harga RM6 manakala RM8 bagi yang mahukan hidangan 'special ‘ .Jika berminat kepada mi bandung ketam, pelanggan boleh membuat tempahan terlebih dahulu dan harganya mengikut pasaran semasa.

Warung Nangka, beroperasi setiap hari bermula jam 11.30 pagi sehingga 4.30 petang, dan ditutup pada hari jumaat.Pelanggan boleh mendapatkan segala info berkenaannya di laman facebook Warung Nangka untuk maklumat tambahan.

Saya sentiasa mempromosikannya di laman sosial Facebook, secara tidak langsung saya turut mempromosikan ‘jenama’ keluarga saya dan kini turut menggunakan khidmat Food Panda untuk tempahan dan serta penghantaran makanan,” katanya.

Khairy Ramli

Sementara itu, Khairy Ramli, 38, dari Seberang Takir yang merupakan salah seorang pelanggan tetap Warung Nangka berkata antara menu yang jadi pilihannya ialah Kuetiaw dengan kuah sayap bandung apabila berkunjung ke kedai berkenaan.

“Saya mula datang ke sini sejak dari sekolah menengah lebih kurang pada tahun 1998 dahulu dan sehinggalah sekarang ia tetap menjadi tempat menjamu selera saya dan kawan-kawan.

“Rasanya memang lain dari yang lain, sedap dan murah..memang tak jumpa lah kat kedai lain lagi setakat hari ini,” ujarnya.

Bagi Umi Nadiah Zamani, 33, dari Pengadang Baru pula, Warung Nangka menjadi pilihan keluarganya untuk menjamu selera sejak beberapa tahun yang lalu  kerana menunya cukup istimewa dan digemari oleh anak-anak dan juga suami.

“Kuetiaw dan mi goreng kat sini mempunyai rasa dan aroma yang berbeza jika dibandingkan dengan tempat lain, terutama kuahnya yang pekat dan sedap.Memang tak rugi kalau datang dan kami sekelurga sangat menyukainya,” katanya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: