Thursday, 14 November 2019

Masalah Penutup Longkang Kampung Wakaf Catur Selesai

SHARE
Longkang siap dibaik pulih dengan penutup yang lebih sempurna
Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU, 14 November - Masalah longkang berhampiran Masjid Maras, Kampung Wakaf Catur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang mengundang bahaya kepada keselamatan penduduk akhirnya selesai.

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Mohd Shafizi Ismail berkata, sudah tiba masanya beberapa infrastruktur seperti longkang dibaik pulih kerana banyak yang sudah rosak.

Katanya, tindakan itu diambil berdasarkan aduan penduduk dan hasil tinjauan di beberapa kawasan tersebut.

"Saya turun sendiri melihat kawasan terbabit, banyak longkang yang tiada penutup dan menyebabkan bahaya kepada penduduk setempat.

"Alhamdulillah, kita di peringkat DUN telah meluluskan projek  membaik pulih kembali longkang ini agar lebih sempurna,” katanya ketika ditemui media hari ini.
Keadaan sebelum longkang dibaik pulih.

Menurutnya, kerja-kerja menaik taraf infrastruktur tidak hanya tertumpu kepada pembaikian longkang, tetapi kerja  menurap semula keseluruhan jalan turut dilakukan.

"Saya juga harap penduduk memahami bukan semua tindakan dapat diselesaikan segera kerana setiap keputusan sesuatu perkara perlu ada perbincangan kerana ia melibatkan peruntukan.

"Kita akan selesaikan satu persatu masalah rakyat, agar semua dapat hidup dengan harmoni tanpa dibelenggu banyak masalah," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Maras, Ramli Abu Bakar, 59, berkata, dia tidak perlu lagi risau akan keselamatannya apabila penutup longkang berkenaan sudah dibaik pulih oleh pihak berkuasa tempatan.

"Setiap kali pergi Masjid ini, saya dan juga beberapa penduduk kampung risau terjatuh ke dalam longkang berkenaan akibat keadaan longkang yang tidak sempurna.

"Tetapi sekarang ini masalah ini selesai dan ia memberi keselesaan kepada penduduk di sini," katanya.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: