Sunday, 24 November 2019

Sidang DUN : Lima Strategi Utama Pacu Prestasi GLC Terengganu

SHARE
Ahmad Samsuri.
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan Terengganu telah melaksanakan lima strategi utama bagi memacu anak syarikat kerajaan negeri (GLC) di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) yang berprestasi rendah ke tahap terbaik.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, inisiatif untuk memastikan prestasi kewangan GLC selari dan sejajar dengan matlamat Terengganu Inc adalah dengan melaksanakan ‘group business plan and budget’ yang bertindak menilai strategi dan pra-tindakan setiap syarikat.

Jelasnya, kajian prestasi separuh penggal atau ‘mid year review performance’ terhadap setiap anak syarikat turut dijalankan untuk memastikan perjalanan operasi berada pada landasan tepat.

“Selain itu, latihan korporat seperti ‘re-allignment exercise’ yang melibatkan penstrukturan, penggabungan dan pengambilalihan syarikat selain recovery plan’ dilaksanakan bagi memulihkan prestasi kewangan GLC yang mengalami masalah aliran tunai dan kerugian berterusan turut dijalankan.

“Langkah keempat, penekanan dalam tadbir urus korporat yang baik dalam pentadbiran syarikat dan yang terakhir menitikberatkan amalan ‘hi-perfomance culture’ di peringkat kumpulan Terengganu Inc,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, pemantauan secara berterusan melalui ‘Business Recovery Committee’ (BRC) yang juga inisiatif dalaman Terengganu Inc akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi menambah nilai dan merangka strategi meningkatkan prestasi syarikat.

“Kerajaan negeri menyedari kepentingan anak-anak syarikat untuk berdaya saing dan mencapai prestasi ekonomi yang terbaik kerana dalam masa yang sama ia boleh menyumbang kepada kerajaan dan kepentingan rakyat negeri,” katanya.

Tambah beliau, bagi memastikan setiap syarikat itu terus berdaya maju, pihaknya akan mengkaji beberapa langkah lain.

“Ia termasuk suntikan daripada kerajaan kepada anak syarikat, ini juga boleh berlaku dalam bentuk ‘capital expenditure’.

“Tetapi ia tidak akan dijadikan suatu peraturan umum bahawa kita mesti melakukan suntikan tetapi kita akan lihat satu persatu terhadap keperluan kewangan pada anak-anak syarikat ini,” tambah beliau.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: