Tuesday, 26 November 2019

Lima Kes Jangkitan Malaria Di Terengganu

SHARE

Foto Hiasan ( Google)

K
UALA TERENGGANU, 26 November - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan lima kes jangkitan malaria manusia jenis ‘Plasmodium malariae’ di negeri ini, seperti yang tular di laman sosial sejak 20 November lalu yang telah menimbulkan pelbagai reaksi terhadap mesej tersebut.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi  Yunus berkata seorang penduduk dari Kampung Tepoh, Batu Rakit, Kuala Nerus Terengganu disahkan mengalami jangkitan malaria manusia jenis ‘Plasmodium malariae’ pada 23 Oktober 2019.

Katanya, melalui hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Nerus, telah mengesan empat orang warganegara asing yang menghidap jangkitan malaria jenis yang sama.

“Kesemuanya  pernah bekerja di negara asal iaitu di Lombok, Indonesia dan datang ke Malaysia di antara bulan Februari hingga Julai 2019 secara persendirian dan kesemua mereka tidak mengalami tanda-tanda jangkitan malaria.

“PKD masih menjalankan siasatan untuk mengenalpasti punca sebenar jangkitan tersebut dan buat masa sekarang mangsa warganegara tempatan dan kesemua warganegara asing yang dijangkiti malaria berkenaan telah dirawat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau,rekod di JKNT menunjukkan kes terakhir malaria bukan tempatan (imported case) jenis ini dikesan di mukim Hulu Chukai Daerah Kemaman Negeri Terengganu pada tahun 2012.

Tambahnya lagi, PKD Kuala Nerus telah menjalankan aktiviti saringan ujian darah beramai-ramai (mass blood survey) dan saringan kes demam (Active Case Detection) di kalangan penduduk di lokaliti kes bagi mengesan kemungkinan jangkitan malaria menular di kalangan penduduk terdekat dengan kes.

“Buat masa ini situasi kejadian malaria di Kuala Nerus ini adalah terkawal dan tiada jangkitan baru dikesan dalam tempoh hampir lima minggu dari tarikh kes dikesan.

“Dan sebagai  langkah pencegahan dan kawalan, PKD Kuala Nerus telah menjalankan semburan dinding kediaman dan mengedarkan kelambu bagi mengawal nyamuk pembawa malaria,” ujarnya.

Dr Nor Azimi berkata, pemakluman kepada pengamal-pengamal perubatan berdekatan juga telah dilakukan agar lebih ‘alert’ berkaitan kejadian wabak ini dan meningkatkan saringan malaria di kalangan rakyat tempatan dan juga warganegara asing yang datang ke fasiliti kesihatan masing-masing.

“Ini termasuk menjalankan ujian darah bagi mengesan jangkitan malaria.

“Penduduk telah diberi pendidikan kesihatan mengenai kaedah pencegahan jangkitan malaria. Jika berada di luar rumah pada waktu malam, elakkan diri dari gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan, memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang, dan tidur dalam kelambu jika terpaksa bermalam termasuk mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya mengalami demam,” tambahnya.







SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: