Sunday, 24 November 2019

Sidang DUN : Kutipan Zakat Terengganu RM427.26 Juta Sehingga Oktober Tahun Ini

SHARE


Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 24 November – Jumlah kutipan Zakat Terengganu mulai dari tahun 2017 hingga Oktober tahun ini ialah sebanyak RM427.26 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sementara pengagihan kepada asnaf pula berjumlah RM531.70 juta dalam tempoh yang sama.

Katanya, ini termasuk sejumlah RM188.51 juta dibelanjakan pada tahun 2018, RM181.89 juta (2017) dan RM161.27 juta sehingga Oktober tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam soalan itu, Wan Hapandi ingin tahu jumlah kutipan zakat dari tahun 2017 hingga 2019 dan jumlah agihan mengikut asnaf di negeri Terengganu.

Katanya, bagi asnaf miskin sejumlah RM210.90 juta dibelanjakan termasuk RM74.12 juta pada tahun 2018, RM72.74 juta (2017) dan RM64.04 juta sehingga Oktober tahun ini.

ADUN Rhu Rendang itu berkata, sebanyak RM 185.30 juta dibelanjakan untuk asnaf Fisabilillah termasuk RM66.20 juta pada tahun 2017, RM65.39 juta (2018) dan RM53.71 juta sehingga tempoh Oktober tahun ini.

Sementara bagi asnaf faqir pula jelasnya, sejumlah RM 59.46 juta dibelanjakan termasuk RM20.90 juta pada tahun 2018, RM19.81 juta (2017) dan RM18.74 setakat Oktober tahun ini.

“Manakala bagi asnaf Amil pula, sejumlah RM49.16 juta dibelanjakan untuk mereka dalam tempoh berkenaan.

“Ini termasuk RM18.04 juta dibelanjakan pada tahun 2018, RM15.98 juta sehingga Oktober tahun ini dan RM15.14 juta pada tahun 2017,” ujarnya.

Seterusnya menurut beliau sejumlah RM20.97 juta dibelanjakan untuk Muallaf, Ar-Riqab (RM 3.33 juta), Al-Gharimin (RM 2.54 juta) dan Ibnu Sabil (RM7,300).

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: