Sunday, 24 November 2019

Sidang DUN : Kerajaan Terengganu Lulus 6,641 Lot Tanah

SHARE
MB (dua dari kanan) ketika di Putrajaya baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan Terengganu meluluskan sebanyak 6,641 lot tanah mulai Mei 2018 hingga 2019.

Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini termasuk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan sebanyak 3,451 lot, RTB Tapak Rumah dan Pertanian (1,434), Lot Tanah Perumahan Melalui E-Mohon (Individu) (1,388) dan Lot Tanah Pertanian (368).

Katanya, bagi RTB Terkilan, Kerajaan Negeri meluluskan 1,174 lot tanah di daerah Setiu, Kemaman (1,005), Besut (941), Dungun (188), Kuala Terengganu (70), Hulu Terengganu (52), Kuala Nerus (21) dan Marang, tiada tanah diluluskan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua, DUN Ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dalam soalan itu, Wan Hapandi ingin tahu jumlah lot tanah perumahan dan lot pertanian yang telah diluluskan Kerajaan Negeri mengikut daerah mulai Mei 2018 hingga tahun ini.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, bagi RTB Tapak Rumah dan Pertanian, daerah Dungun diluluskan sebanyak 751 lot, Marang (360), Setiu (91), Kemaman (88), Besut dan Kuala Nerus masing-masing 51 lot, Hulu Terengganu (42) serta Kuala Terengganu tiada tanah diluluskan.

Sementara Tanah Perumahan Melalui Sistem E-Mohon pula, bagi daerah Kemaman diluluskan sebanyak 248 lot, Hulu Terengganu (239), Dungun (219), Marang (209), Setiu (187), Besut (167), Kuala Nerus (73) dan Kuala Terengganu (46).

ADUN Rhu Rendang itu berkata, bagi Lot Tanah Pertanian pula, daerah Setiu mendapat kelulusan terbanyak berjumlah 191 lot, diikuti Hulu Terengganu (65), Besut (63), Dungun (40), Marang (sembilan) manakala Kuala Terengganu, Kemaman dan Kuala Nerus tiada sebarang kelulusan tanah dibuat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: