Wednesday, 20 November 2019

Kerajaan Pusat Perlu Bina 3,000 Rumah Di Kuala Terengganu

SHARE
Ahmad Amzad ketika bercakap di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR, 20 November - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim memohon Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, menambah sebanyak 3,000 buah rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia untuk kawasan parlimen itu.

Beliau berharap menteri berkenaan pertimbangkan keperluan rakyat itu kerana jumlah 3,733 sangat kecil untuk seluruh negeri Terengganu sebagaimana dirancangkan.

Katanya, adalah mustahak ditambah sebanyak 3,000 buah lagi khusus untuk kawasan Kuala Terengganu kerana daerah itu kepadatan penduduknya paling tinggi berbanding daerah lain.

Zuraida Kamaruddin.
“Saya boleh bincang dengan YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar Terengganu untuk cadangan lokasi dan jenis bersesuaian dan beri kerjasama atas hasrat baik YB (Yang Berhormat) Menteri membantu rakyat Kuala Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada menteri berkenaan berhubung keperluan perumahan kepada golongan itu di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau telah membangkitkan tentang ketidakcukupan projek perumahan itu kerana daripada satu juta buah rumah yang dirancang oleh Kementerian itu hanya 3,733 buah rumah dirancang secara berperingkat selama tiga tahun di bawah Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia sebagaimana diumumkan Kementerian itu Januari lalu.

Malangnya kata beliau, projek itu seperti tidak mengambil kira nasib miskin bandar kerana dari tujuh lokasi yang akan dibina tiada satu pun di Daerah Kuala Terengganu.

Katanya, lokasi yang dirancang adalah di Pulau Besar, Kuala Nerus, Wakaf Tapai dan Bukit Payung, Marang, Kijal, Kemaman, Besut serta Batu Rakit, Setiu.

“Ini adalah satu peristiwa malang kepada rakyat Kuala Terengganu kerana walaupun Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dari Kuala Terengganu, beliau gagal memahami keperluan rumah mampu milik paling mendesak di Kuala Terengganu yang mempunyai nisbah kependudukan paling tinggi di Terengganu,” ujarnya.

Soalan asal Ahli Parlimen Lenggong, Dato' Dr Shamsul Anuar Haji Nasarah meminta menteri itu menyatakan sejauh mana penganjuran Kempen Pemilikan Rumah (HOC) kepada pembeli warga asing berupaya menyelesaikan isu lambakan rumah mewah tidak terjual serta berupaya untuk memulihkan ekonomi negara.

Di samping itu bagaimana pula dengan nasib rakyat Malaysia yang dikategorikan sebagai miskin atau miskin bandar yang masih tidak memiliki rumah pertama serta nyatakan inisiatif Kementerian berkenaan dalam perkara ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: