Sunday, 24 November 2019

Kerajaan Negeri Peka Keperluan Rakyat

SHARE

Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 24 November - Kerajaan negeri sangat peka dengan permasalahan rakyat marhaen terutama dalam isu perumahan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, kerajaan negeri menyedari bahawa rumah kediaman menjadi keperluan utama rakyat dalam membentuk masyarakat yang sejahtera.

"Justeru kerajaan sekarang sedang berusaha dengan gigih bagi memenuhi keperluan utama ini. Kita dimaklumkan masih terdapat satu rumah yang dihuni oleh tiga keluarga di kampung ini dan perkara tersebut dalam perhatian dan tindakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Titian Berayun di sini baru-baru ini.


Beliau juga memaklumkan ini adalah rumah PPRT ketiga yang diserahkan selepas di Kampung Bukit Teruna dan di Kampung Bukit Kuang sebelum ini sepanjang tempoh pemerintahan baharu yang diamanahkan oleh rakyat.

Seorang ibu tunggal, Rohani Abu Bakar, 40, amat gembira dan bersyukur di atas pemberian tersebut.

Beliau bekerja sebagai penjual kuih dan mempunyai tiga orang anak yang masih belajar.


"Alhamdulillah syukur kepada Allah dan jutaan terima kasih pihak kerajaan yang prihatin," ucap beliau.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Jurutera Pejabat Daerah Kemaman, Khairul Hisham Endut, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Titian Berayun, Ibrahim Abdullah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: