Wednesday, 20 November 2019

Keluarga Warga Emas Lega, Rumah Rosak Siap Dibaiki

SHARE
Khairani (kiri).
Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU, 20 November - Keluarga warga emas di Kampung Tanjung Gelam di sini lega apabila rumah yang runtuh baru-baru ini telah dibaik pulih dan siap untuk diduduki.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, proses membaiki rumah berkenaan telah dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat sebanyak RM10 ribu.

Katanya, rumah tersebut rosak disebabkan dapur runtuh dan tiang rumah reput kerana terlalu lama tidak dibaik pulih.

“Saya turun sendiri bersama dengan Pegawai Khas Penyelaras Batu Rakit, Adli Ngah, melawat rumah di Kampung Tanjung Gelam baru-baru ini.

“Kejadian dapur runtuh itu pada bulan lepas itu menyebabkan dapur rumah mangsa rosak teruk dan kerja seharian tergendala,” ujarnya ketika ditemui media.
Keadaan rumah sebelum dibaiki.

Sementara itu, anak saudara warga emas terbabit, Mohd Khairani Abdul Ghani, 40, terharu dengan kesungguhan pihak berwajib dalam menyelesaikan masalah mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, bantuan ini mengurangkan kesusahan yang kami alami dan semoga hidup kami selepas ini terus bertambah baik.

“Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membaiki dan menyiapkan segala kerosakkan rumah ini,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: