Sunday, 17 November 2019

Keganasan Rumah Tangga Berkait Masalah Kesihatan Mental

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 17 November-Antara faktor yang mendorong kepada keganasan rumah tangga dikalangan pasangan suami isteri disebabkan masalah kesihatan yang berkait dengan mental, tekanan perasaan dan sebagainya.

Menyedari hakikat berkenaan satu kem kesihatan dianjurkan oleh Panel Penasihat Klinik Kesihatan daerah Dungun dengan tajuk 'Rumahku Syurgaku, Katakan Tidak Pada Keganasan Rumah Tangga'.

Pengarah program tersebut, Dr. Ahmad Shukri Mahmud berkata, tujuan kem berkenaan bagi memupuk kesedaran di kalangan masyarakat mengenai isu keganasan rumah tangga.

"Matlamat kita adalah untuk mengurangkan kes berkenaan, dimana kita tengok sejak akhir-akhir ini kes-kes keganasan rumah tangga semakin bertambah.

"Walaupun ianya bukanlah satu skop khusus dibawah bidang kementerian kesihatan tetapi ianya amat berkaitan rapat," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kem Kesihatan Klinik Kesihatan Jerangau Bersama Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) Kampung Nerang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman serta Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Jerangau, Ramly Ibrahim.

Katanya,  mangsa-mangsa keganasan rumah tangga boleh dapatkan bantuan menerusi 'One Stop Healthy Centre' kementerian kesihatan.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Epidemologi Pejabat Kesihatan Daerah Dungun, Dr. Muhammad Faris Mahmood berkata, dalam usaha menghentikan keganasan rumah tangga ahli keluarga lain turut memainkan peranan penting.

"Apabila nampak kelainan dikalangan ahli keluarga terus boleh bawa ke klinik kesihatan dan doktor akan mengenalpasti.

"Kerana kita ada alat khusus yang boleh digunakan untuk saringan kesihatan mental kemudian akan dirujuk kepada doktor pakar psikiatri," jelasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: