Saturday, 16 November 2019

Kayuhan Pertama Bawa Tuah Pada Aileeni

SHARE
Noor Aini (tiga dari kiri) bersama pasukannya.

HULU TERENGGANU, 16 November - Penyertaan kali pertama Noor Aileeni Mohd Ghalib, 34, dalam Kejohanan Lumba Basikal LPT2 De’ Perasing-Ajil hari ini membawa tuah buat dirinya apabila menerima hadiah motosikal Yamaha NVX 155. 

Pelumba basikal pasukan 4GK, yang beraksi dalam kategori ‘Fun Ride’ diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah sekali gus berjaya membawa pulang motosikal berharga sekitar RM13,000 itu.

Noor Aini berkata, dia sangat gembira apabila mendapat hadiah tersebut walaupun tidak memperoleh keputusan yang baik dalam perlumbaan disertainya.

“Saya tidak menyangka akan menerima hadiah lumayan ini, lebih-lebih lagi ini kali pertama saya menyertai kejohanan lumba basikal sebesar ini.

“Sebelum ini saya hanya menyertai acara santai dan baru menubuhkan pasukan ni pada bulan Julai lalu. Dan saya berharap agar program ini diteruskan pada masa akan datang, Insya-Allah kami akan sertai.

“Kejohanan ini juga mampu mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam acara berbasikal selain mengeratkan kami para peminat sukan berbasikal,” ujarnya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan itu.
Salman Hassan bekerja sebagai warden penjara Marang.
Dalam pada itu, seorang lagi peserta yang memenangi hadiah utama untuk cabutan bertuah, Salman Hassan, 39, berasa amat gembira apabila menerima motosikal Yahama Y15ZR setelah tiga menyertai kejohanan tersebut.

“Alhamdulillah, rezeki saya pada tahun ini, ini kali pertama saya mendapat hadiah yang sangat berharga seperti ini setelah berkecimpung selama lima tahun dalam arena berbasikal,” tambah beliau.

Lebih 2,150 pelumba basikal menyertai salah satu kejohanan berbasikal terbesar di Pantai Timur itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM58,000.


Upacara pelepasan peserta disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: