Wednesday, 13 November 2019

Pejabat Khidmat Selesai Masalah Rakyat

SHARE

Mohd Shafizi (kanan) membaca aduan daripada rakyat di pejabatnya.

Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU, 13 November – Kaunter aduan dan khidmat rakyat menjadi medan berkesan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku membabitkan masyarakat setempat.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kaunter yang dibuka di pejabat beliau diyakini mampu mencapai objektif untuk meningkatkan kepuasan hati masyarakat terhadap perkhidmatan wakil rakyat.

“Dengan pertemuan sebegini ia dapat memberi ruang untuk penduduk kampung mendapatkan sebarang penjelasan mengenai apa-apa isu atau melaporkan perkara yang mereka ingini.

“Penduduk kampung juga boleh menjadikan pertemuan ini sebagai satu saluran atau medium untuk mengemukakan apa jua pandangan yang difikirkan baik dan sesuai untuk menjamin keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan DUN Batu Rakit berkata demikian ketika bersama penduduk kampung yang hadir di Pejabat Pusat Khidmat DUN Batu Rakit, di sini hari ni.

Menurut beliau, perjumpaan secara berkala pastinya akan turut meringankan beban para penduduk kampung.

“Banyak masalah dan rungutan orang ramai yang kita boleh selesaikan, dan daripada program seumpama ini juga sudah banyak rumah, jalan dan kebajikan rakyat di DUN ini berjaya kita selesaikan,” tambahnya.

Katanya lagi, hari bertemu penyelaras DUN Batu Rakit akan dibuat setiap pagi bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 2.00 Petang di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN.

“Insya-Allah akan diusahakan untuk dilaksanakan setiap hari, namun ia bergantung kepada jadual dan program yang melibatkan saya bersama kerajaan negeri atau jabatan lain,” ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: