Saturday, 23 November 2019

Kaum Hawa Digalak Jadikan Bidang Jahitan Kerjaya Pilihan

SHARE

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 23 November- Kaum hawa khusus anak muda, suri rumah dan ibu tunggal digalak mengikuti kelas jahitan dan seterusnya menjadikan tukang jahit sebagai kerjaya.

Tenaga pengajar kelas jahitan komuniti DUN Rantau  Abang, Nur Raudhatul Safwah Mohd Radzi berkata, permintaan untuk menyertai kelas jahitan komuniti agak mengalakkan sehingga pengambilannya terpaksa dihadkan.

"Ini memandangkan mesin jahit kelajuan tinggi yang terdapat di kelas jahit komuniti ini hanya enam buah, manakala yang biasa dua buah tetapi ianya jarang digunakan," ujarnya.

Raudhatul memberitahu demikian ketika ditemui wakil media UPDI  di Kelas Jahitan Komuniti DUN Rantau Abang di Gong Pasir, baru-baru ini.

Menurutnya, untuk kelas berkenaan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) hanya mengambil 20 orang pelatih pada satu-satu masa.

"Mereka akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu sebelah pagi dan petang.

"Kita menganggarkan dua orang untuk satu mesin, kalau pelajar lebih, bimbang ada yang tidak berpeluang untuk menjahit, "jelasnya.


Menurutnya untuk pengambilan tahun 2020 yang akan bermula pada Januari, permohonan sedang dibuka.

"Kepada yang berminat boleh mengambil borang di Kelas Jahitan Komuniti DUN masing-masing, jika di DUN Bukit Besi, dekat Masjid Al Muktafil Billah Shah(AMBS), DUN Sura pula di belakang Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan di DUN Paka boleh didapati di Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(IMiTS)," terangnya lagi.

Sementara itu seorang pelatih Che Hasliza Che Soh, 41 yang telah  berjinak-jinak dengan jahitan pakaian kemeja - T berharap dengan kursus jahitan di kelas tersebut akan memahirkan lagi beliau untuk meneruskan usaha sebelum ini.

"InsyaAllah selepas tamat nanti, saya akan jahit pelbagai fesyen t-shirt muslimah dan biasa dan ingin memasarkannya di kedai-kedai," tambah Che Hasliza yang mendapatkan bekalan kain 't-shirt' melalui pesanan 'line'.

Manakala Nurul Syahira bt Mohd Shuhaimi, 26 yang mengetahui kelas berkenaan daripada suaminya menerusi 'facebook' berharap dapat mengikuti kelas jahitan tersebut dengan baik.

"Saya memang 'kosong' pasal menjahit, nak guna mesin 'high speed' pun takut tapi alhamdulillah , selepas tamat kursus ini, saya harap dapat membeli mesin 'high-speed ' untuk ambil tempahan," katanya yang tinggal di DUN Sura.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: