Thursday, 14 November 2019

Karnival Perkampungan Berkat Sasar Budaya Islamik

SHARE


MARANG, 14 November - Yayasan Islam Terengganu (YIT) mensasarkan penghayatan agama Islam secara syumul melalui penganjuran Karnival Perkampungan Berkat 2019 yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 November di Kampung Atas Tol, Marang.

Pengarah YIT, Azhar Jusoh berkata penghayatan berkenaan disampaikan melalui pengisian-pengisian program sepanjang tiga hari yang lebih banyak menyentuh tentang budaya Islamik dan tradisi yang perlu dikekalkan.

"Melalui program karnival ini, kita nak tingkatkan kefahaman masyarakat kepada menghayati Islam dengan lebih baik.

"Ini termasuk menyebarkan dakwah dengan memberikan penekanan kepada perpaduan dan penghayatan agama yang syumul.

"Di samping itu, kita juga ingin menarik minat masyarakat dalam mengamal dan mengekalkan cara hidup Islam yang menjadi kebanggaan ummat serta mengekalkan tradisi yang ada supaya tidak hilang," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Karnival Perkampungan Berkat Yayasan Islam Terengganu 2019 di Dewan Sivik dan Padang Bola Kampung Atas Tol, di sini hari ini.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato' Azhar Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.

Menurut Azhar, pelbagai acara menarik seperti gotong-royong, Ekspo Pameran dan Jualan, Festival Kesenian Islam Kanak-kanak Tadika, Kenduri Rakyat, Bual Bicara Hijrah Selebriti, Pertandingan Dakwah Got Talent dan banyak lagi.

Tambahnya, terdapat juga sukaneka rakyat seperti  Tarik Tali, Anyam Ketupat, Bowling Kelapa, Makan Buah Tergantung, Futsal, Kopek Kelapa, Cari Gula, Basikal Lambat dan lain-lain permainan tradisi yang menarik.


Sementara itu, Yahaya berkata program seperti ini menjadi titik permulaan untuk mengeratkan silaturrahim dan secara tidak langsung memberi kesan positif dalam mewujudkan masyarakat di Terengganu yang maju, berkat dan sejahtera.

"Inilah sebenarnya yang menjadi matlamat dan juga tema pada kerajaan negeri  bahawa kepimpinan kerajaan sekarang ini mempunyai keazaman yang tinggi, bukan saja satu slogan, tetapi kita mahu berganding bahu dengan seluruh jentera kerajaan, pegawai-pegawai dan sudah tentulah tidak ketinggalan dalam kalangan rakyat jelata untuk kita membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: