Thursday, 21 November 2019

Kamariah Terima Anugerah Tokoh Keilmuan

SHARE

Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 21 November - Hajah Kamariah Omar, 76, dipilih menerima Anugerah Tokoh Keilmuan bagi daerah Kemaman dalam Program Sayyidatina Aisyah Wanita Inspirasi yang berlangsung di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), kelmarin.

Ibu kepada 10 orang anak ini telah menerima pendidikan darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Kijal dan kemudiannya menyambung pengajian dengan Almarhum Haji Abdullah Salleh yang sangat terkenal di Kemaman ketika itu.

Beliau pernah menjadi guru al-Quran selama 5 tahun di Pusat Pengajian Taman Islam, Bakau Tinggi. Selepas itu beliau bersama rakan jemaahnya telah membuka tiga kelas fardhu ain di Kampung Besut yang masih wujud sehingga ke hari ini.


Beliau yang ketika ditemui selepas majlis tersebut mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri selaku penganjur program yang telah memilih beliau sebagai penerima anugerah.

"Semoga anugerah yang saya terima ini dapat menjadi pembakar semangat buat diri saya, rakan seperjuangan dan generasi baharu untuk terus  berbakti dan berusaha sedaya upaya bagi membantu dalam apa jua hal yang berkait keilmuan, kebajikan, dakwah dan sebagainya," ujarnya.


Sumbangan terbesar beliau adalah mewakafkan satu bangunan miliknya di Kampung Besut yang diberi nama Balai An-Nadwah untuk digunakan dalam apa jua program atau aktiviti yang berbentuk keilmuan, kebajikan dan seumpamanya.

Beliau juga baru sahaja mewakafkan tanah yang berkeluasan hampir satu ekar di Kampung Tengah Pantai Kijal yang akan dibina sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Sekarang menunggu proses kelulusan pelan bangunan. Ini di antara usaha yang telah dilakukan oleh beliau sehingga dipilih bagi menerima anugerah itu.

Beliau menerima sejambak bunga, sijil dan wang tunai sebanyak RM500 yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun.

Hampir 800 peserta wanita dari daerah Kemaman dan Dungun hadir ke program berkenaan bagi mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah terkenal, Ustaz Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang dan Senator Ustazah Asmak Husin.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: