Monday, 18 November 2019

Jusman, Wan Muhd Masyhum Angkat Sumpah YDP Baru

SHARE

KUALA TERENGGANU, 18 November - Jusman Ibrahim hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang baharu.

Majlis angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Tingkat 16, Wisma Darul Iman.

Jusman menggantikan Wan Mohd Zaki Wan Abdullah yang memegang jawatan sebagai YDP Kemaman sebelum ini.

Ketika ditemui pemberita, beliau berazam untuk menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepadanya dengan sebaik mungkin.

“Saya berasa amat berbesar hati dengan pelantikan saya sebagai YDP MPK yang baharu dan ini merupakan satu cabaran kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai penjawat awam selama 20 tahun ini.

“Terima kasih kepada pihak pentadbiran kerajaan negeri terutamanya Menteri Besar yang memberi kepercayaan kepada saya bagi menggalas satu tanggungjawab yang cukup besar ini,” ujarnya.


Pada majlis yang sama, Wan Muhd Masyhum Wan Harujan, 38, turut mengangkat sumpah sebagai YDP Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) yang baharu berkuatkuasa 3 November lalu.

Katanya, 'tagline' kerajaan negeri iaitu maju, berkat dan sejahtera akan menjadi fokusnya dalam melaksanakan tugas di MDHT seiring dengan kepimpinan kerajaan negeri yang baharu.

“Pelantikan sebagai YDP akan memberikan cabaran baharu kepada saya untuk merealisasikan hasrat kerajaan ke arah mensejahterakan rakyat.

“Diharapkan pengalaman saya di jabatan sebelum ini dapat digunakan untuk menerajui MDHT,” ujarnya yang berasal dari Besut.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: