Friday, 29 November 2019

Jangan Sebar Khabar Angin Berkaitan Banjir

SHARE
Pihak polis meninjau lokasi kg.Cenerong Lebam Durian Kassim, Ajil yang mula dinaiki air petang tadi


HULU TERENGGANU, 29 November - Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan khabar angin atau maklumat tidak benar melalui media sosial seperti 'Facebook' dan 'Whatapps' berkaitan banjir yang dijangka berlaku di beberapa daerah berikutan musim tengkujuh.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) , Ustaz Maliaman Kassim berkata penyebaran maklumat palsu terutama melalui aplikasi di laman sosial boleh menimbulkan beberapa implikasi terutama rasa panik dikalangan masyarakat.

Katanya, tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir yang akan turut menjejaskan operasi pasukan keselamatan terlibat.

"Saya minta kepada netizen di luar sana jangan sesekali terima bulat-bulat tentang apa yang disiarkan dan disebar dalam media sosial.

"Jangan terus percaya mengenai maklumat diterima dan sebarkan kembali, sebaliknya kena buat pengesahan dan rujukan kepada pihak yang berkaitan," ujarnya ketika dihubungi oleh Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI), hari ini.

Tambahnya, sebagai pengguna atau netizen yang bijak dalam dunia teknologi maklumat yang semakin canggih, individu perlu bijak menilai maklumat atau berita yang tidak tentu kesahihannya.

"Orang ramai boleh buat rujukan dengan pihak pengurusan bencana seperti Pejabat Daerah atau pihak keselamatan dan berwajib seperti polis atau bomba,"katanya lagi.

Jelasnya, hujan yang turun agak lebat sejak dua hari ini dan mengikut ramalan  berkemungkinan besar boleh menyebabkan limpahan air sungai dan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Kawasan-kawasan yang mungkin terjejas di kawasan kampung pedalaman seperti Kampung(kg). Pengkalan Ajal, Kua, PPSK Gunung Menerong, Lubuk Periok, Peneh, Menerong, Peris, Betong, Lubuk Batu dan juga Kg. Bukit Kolam.

"Saya nasihatkan agar semua penduduk yang kampung terlibat banjir supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan sentiasa mendengar arahan pihak berkuasa dan pindah segera demi keselamatan.

"Awasi keselamatan diri sendiri, ahli keluarga dan juga jiran tetangga.Pastikan juga semua dokumen penting dibawa bersama atau disimpan di tempat yang selamat," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: