Saturday, 9 November 2019

Jadikan Masjid Sebagai Pusat Ilmu Dan Sosioekonomi Rakyat - Titah Sultan Mizan

SHARE
Sultan Mizan bertitah agar setiap masjid tidak menyimpan wang sumbangan tanpa dibelanjakan.
KUALA TERENGGANU, 9 November - Setiap pengurusan masjid diseru supaya menjadikan institusi berkenaan sebagai pusat ilmu dan sosioekonomi kepada masyarakat.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar institusi tersebut menjadikan masjid di zaman Rasulullah yang berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan perpaduan sebagai ikutan.

“Masjid Nabawi sebagai contoh kita dapat lihat bukan sahaja menjadi tempat beribadah dan pusat pentadbiran malah dijadikan tempat menyatukan ummah.

“Beta berharap supaya kegemilangan institusi masjid seperti di zaman Nabi dapat dikembalikan di samping berusaha menjadikan masjid sebagai pusat ilmu dan pemangkin sosioekonomi rakyat,” titahnya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri hari ini.

Turut berangkat mengiringi Tuanku, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sultan Mizan turut bertitah, kegemilangan masjid boleh dicapai dengan melaksanakan beberapa program yang membentuk jati diri masyarakat.

“Institusi masjid harus merancakkan aktiviti dan program seperti muzakarah, ceramah dan forum keagamaan.

“Masjid juga harus menguruskan kewangan selari dengan hasrat penyumbang, bukan menyimpan tanpa dibelanjakan,” titah baginda.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang turut berucap berkata, penganjuran sambutan Maulidur Rasul adalah sebagai usaha untuk memartabatkan syiar Islam dan mentarbiah masyarakat ke arah mencintai Nabi.

Menyedari program seumpama ini, masyarakat Islam dapat dikumpulkan dan diberikan pengisian mengenai perjuangan Baginda sekali gus mampu mengikuti jejak langkah Rasulullah dalam menegakkan Islam,” katanya.

Majlis pada tahun ini yang bertemakan ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ dihadiri kira-kira 2,000 orang yang terlebih dahulu menyertai perarakan dari Dataran Shah Bandar ke Stadium Negeri, di sini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: