Friday, 8 November 2019

Islam Memimpin Tegak Hak Asasi Manusia

SHARE


Dr Abdul Hamid menyampaikan Tausiyah di Masjid At-Taqwa Durian Burung.
KUALA TERENGGANU, 8 November – Orang Islam mesti memimpin negara dengan Islam kerana agama mereka sahaja berkeupayaan untuk menjaga hak asasi manusia.

Sebaliknya pemimpin bukan Islam tidak berjaya menjaga hak asasi tersebut sebagaimana tercatat dalam sejarah sejak dahulu sampai sekarang.

Seorang pendakwah bebas Dr Abdul Hamid Al-Mahdaly berkata, orang Yahudi di zaman Rasulullah s.a.w. mengakui mereka tidak pernah merasai hak asasi manusia melainkan di bawah perlindungan negara Madinah yang dipimpin baginda.
Pimpinan Kerajaan Terengganu berselawat di Majlis Sambutan Ambang Maulidur Rasul di Masjid At-Taqwa Durian Burung Kuala Terengganu.
Ini kerana katanya, Islam ditegakkan di atas kasih sayang dan mengutamakan perdamaian dari peperangan termasuk mempertahankan hak asasi manusia.

“Di atas kasih sayang kepada umat manusia termasuk orang Islam sebagai umat ijabah (menerima Islam) dan bukan Islam (umat yang perlu disampaikan dakwah), Islam ditegakkan di zaman Nabi s.a.w.

“Hari ini patung berhala di banyak tempat tidak diusik oleh umat Islam kerana Islam mengajar mereka menjaga hak asasi manusia untuk semua,” katanya ketika menyampaikan tausiyah Sempena Ambang Sambutan Maulidur Rasul s.a.w. di Masjid At-Taqwa Durian Burung di sini hari ini.
Kumpulan Soutul Muhibbin Madrasah Muhajirin Bukit Jong Kuala Nerus mengalunkan selawat ke atas Nabi s.a.w.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali dan Isteri, Toh Puan Zarani Othman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dr Abdul Hamid yang diundang khas seterusnya berkata, Islam mengutamakan perdamaian lebih dari peperangan kerana Islam adalah agama yang diasaskan kepada kasih sayang.

Katanya, Nabi s.a.w. berperang ketika tidak ada jalan lain untuk menghadapi musuh melainkan dengan peperangan.


“Walaupun begitu ketika musuh mengajak berdamai Nabi s.a.w. lebih dahulu menghulurkan perdamaian kerana Islam adalah agama perdamaian,” ujarnya.

Katanya, musuh menghina Nabi s.a.w. kerana mereka tidak mengetahui siapa sebenarnya baginda s.a.w.

“Jika mereka tahu bagaimana sifat Nabi s.a.w. sebenarnya, mereka tidak akan menghina baginda s.a.w.,” ujarnya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: