Wednesday, 20 November 2019

Impian Zaiton Bukan Lagi Mimpi

SHARE


Zaiton Zulkifli


Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 20 November - Hampir 45 tahun menanti untuk memiliki tanah sendiri, kini impian seorang warga emas menjadi kenyataan dan bukan lagi sekadar mimpi apabila menerima Borang 5A di Rancangan Tanah Berkelompok Kampung Baru Sungai Binjai.

Zaiton Zulkifli, 64, berkata dia dan arwah suami membanting tulang mengusahakan tanah tersebut sejak 1977 dan berusaha memohon tanah tersebut sejak dahulu lagi.

“Hari ini mak cik sangat teruja kerana penantian mendapatkan geran ini lebih 42 tahun dengan jerih payah menjadi kenyataan tetapi tidak sempat kongsi kegembiraan bersama arwah suami.

“Walaupun begitu, mak cik rasa bersyukur kerana tanah yang diterokai sejak sekian lama dapat  diwarisi kepada anak - anak mak cik dan terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana membantu memudahkan urusan saya mendapatkan geran ini,”ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui selepas majlis penyerahan Borang 5A.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Haji Maliaman Kassim di Dewan Serbaguna Kampung berkenaan, semalam.

Ismail Muhamad

Sementara itu, seorang lagi penerima , Ismail Muhamad, 74, berkata dia merupakan permohon pertama yang menduduki tanah tersebut sejak 1970 sehingga menemui penghujung.

Dia yang telah menetap di tanah rancangan sejak muda  telah melalui pelbagai pengalaman dalam mendapatkan tanah berkenaan.

“Apa yang diingati dalam hidup saya, ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim pernah berkata sebelum menjadi wakil rakyat di sini beliau akan berusaha selesaikan isu tanah ini jika diberi amanah dan dipilih oleh rakyat di DUN ini.

“Akhirnya hari ini apa yang beliau ucapkan menjadi kenyataan dan saya mengucapkan berterima kasih kepada beliau berjaya selesaikan urusan tanah ini dengan jayanya,” katanya.
.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: