Saturday, 2 November 2019

Imbangi Pembangunan Fizikal Dengan Kelestarian Alam Sekitar

SHARE

Alias (dua dari kiri) melawat pameran barangan dan teknologi mesra alam sekitar.

KUALA TERENGGANU, 2 November - Sesebuah negara mahupun negeri disaran supaya mengimbangi pembangunan fizikal dengan pemeliharaan alam semula jadi sekiranya ingin mencapai kemajuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, dalam meniti arus pemodenan, keseimbangan alam sekitar harus dijaga kerana ia memberi kesan yang amat ketara kepada kesejahteraan hidup manusia.

Jelasnya, ketiadaan sikap menyayangi kepada persekitaran boleh membawa kepada kemusnahan, kerosakan dan bencana yang akan menimpa serta merugikan diri sendiri.

“Sebagai contoh pencemaran udara akibat pembakaran terbuka sering berlaku termasuk baru-baru ini sehingga menimbulkan masalah kesihatan dan gangguan kepada sistem pendidikan apabila sekolah ditutup.

“Selain itu, pencemaran air contohnya adalah berpunca daripada aktiviti pembukaan tanah yang tidak sistematik dan pelepasan efluan yang tidak menepati syarat,” katanya.
Antara peserta dalam Program Pendidikan dalam bidang tenaga, sains teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim
 (ESTECC) yang ditaja sepenuhnya Exxonmobil.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2019 Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Norlin Jaafar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Ramli Abd Rahman dan wakil-wakil jabatan.

Mengulas tentang sambutan HASN, Dr Alias berharap agar ia mampu mencetus satu kesedaran dalam setiap individu akan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, peranan setiap agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan JAS adalah amat penting bagi memastikan pembangunan secara lestari diberi keutamaan dalam setiap rancangan pembangunan yang hendak dilaksanakan.

“Mana-mana kilang baru perlulah berada di dalam kawasan perindustrian yang telah ditetapkan dalam Rancangan Tempatan Daerah. Penempatan industri di lokasi yang betul akan dapat mengurangkan risiko pencemaran kepada alam sekeliling.
Berucap merasmikan majlis.
“Selain itu, mana-mana projek perlu mendapat kelulusan EIA terlebih dahulu daripada JAS sebelum sebarang kerja tanah dijalankan. 

Melalui laporan ini, impak pencemaran akan dinilai dan langkah kawalan yang mencukupi akan dicadangkan untuk mengurangkan pencemaran tersebut,” tambah beliau di hadapan 1,000 peserta program.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: