Monday, 18 November 2019

Ibu Bapa, Guru Perlu Sedia Hadapi Pendidikan Inovasi

SHARE

Oleh: Aslam Wira

KUALA NERUS, 18 November - Ibu bapa dan guru perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan berinovasi dan strategi yang berterusan.

Isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman berkata, oleh itu masyarakat perlu bersama-sama guru melahirkan pelajar cemerlang dan kompeten, iaitu mencapai standard kualiti untuk merealisasikan aspirasi dan agenda negara.

Katanya, pada masa sama, pelajar perlu dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

“Cendekiawan ada mengatakan, tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan sebagai peneroka ilmu bagi mempersiapkan generasi muda abad ke-21.

“Saya percaya majlis hari ini, adalah selari dengan matlamat memberi dorongan dan memotivasikan para pelajar agar terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang,” katanya ketika merasmikan program Hari Anugerah Kemenjadian Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nenas, 2019 di Kuala Nerus di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Perhubungan Sekolah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Roslan Mat, Ketua Unit Pembiayaan dan Pemasaran, Muhammad Nasiruddin Nordin serta Yang Dipetua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SK Bukit Nenas, Enche Rohaya Ab Wahab.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: