Tuesday, 26 November 2019

GPB Bayar Pinjaman RM3 Juta Kepada TISB

SHARE

KUALA TERENGGANU, 26 November- Kumpulan Golden Pharos Bhd (GPB) hari ini membayar balik pinjaman berjumlah RM3.17 juta kepada Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TISB) buat pertama kali sejak 2010.

Pinjaman tersebut diambil oleh anak syarikat GPB iaitu Timber Corporation Sdn Bhd (Pesama) pada tahun 2010 bagi membiayai kos kerja tanah sebidang lot perindustrian milik Pesama di Kampung Mak Lagam, Kemaman.

Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dato’ Nadza Abdul berkata, pembayaran balik pinjaman tersebut menunjukkan komitmen yang tinggi daripada pengurusan anak syarikat TISB setelah hampir 10 tahun membuat pinjaman.

“Jumlah sebenar yang dipinjam adalah RM15 juta, bakinya akan dibayar secara berperingkat dan kita berazam untuk lunaskan selewatnya awal tahun hadapan.

“Prestasi syarikat GPB dan anak-anak syarikat yang semakin meningkat sejak suku ketiga 2017 telah membolehkan pembayaran balik pinjaman yang telah dilakukan setelah hampir sembilan tahun pinjaman dibuat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan ‘mock-cheque’ bayaran balik pinjaman GPB kepada TISB yang turut disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Zahari Md. Azahar; Pengerusi GPB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar; Pengerusi Pesama, Ir saiful Azmi Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif TISB, Dr. Wan Rudirman Wan Razak.

Katanya, diharapkan dengan pembayaran itu membolehkan TISB membantu anak-anak syarikat lain yang memerlukan bantuan untuk menjayakan agenda dan operasi syarikat.

“Di samping dapat menjadi inspirasi kepada mereka untuk bersama-sama menjelaskan hutang yang ada supaya lebih banyak aktiviti dapat dilakukan demi menjaga kebajikan rakyat melalui projek pembangunan serta tanggungjawab sosial korporat masing-masing,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: