Thursday, 14 November 2019

Garis Panduan Hiburan Terengganu Diwarta Tahun Depan

SHARE
Ariffin Deraman (kanan).

KUALA TERENGGANU, 14 November – Satu garis panduan lengkap mengenai sebarang aktiviti berbentuk hiburan, kebudayaan dan pelancongan di negeri Terengganu akan diwartakan pada Januari 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, panduan yang turut melibatkan orang bukan islam itu akan digunapakai oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini selepas ia digazetkan.

Ujarnya, pihak kerajaan akan memberi penerangan kepada PBT, agensi pelancongan dan badan berkaitan sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Semuanya telah siap dan kita akan panggil PBT serta pihak berkaitan untuk memberi penerangan tentang garis panduan tersebut dalam sesi tertutup sebelum pelaksanaannya nanti.

“Sebelum garis panduan ini diwartakan kita telah menangguhkan beberapa program bagi mengelakkan timbul sebarang isu yang boleh meresahkan masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Festival Batik Ganu Kite di Noor Arfa Craft Complex (NACC) Batik Pavilion, Chendering, di sini hari ini.

Menurut Ariffin, garis panduan itu akan menjadi panduan kepada setiap entiti yang menganjurkan program berbentuk hiburan, kebudayaan dan pelancongan agar tidak bercanggah dengan Islam.

Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan Terengganu utnuk memastikan segala aktiviti dalam negeri itu terjaga.

“Kita mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak termasuk daripada kerajaan Kelantan bagi merangka garis panduan ini,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: