Sunday, 24 November 2019

Sidang DUN : Fasiliti Pendaratan Ikan Terengganu Sedang Dinaik Taraf

SHARE


Dr Azman Ibrahim.
KUALA TERENGGANU, 24 November – Projek penambahbaikan terhadap fasiliti pendaratan ikan bagi meningkatkan pendapatan nelayan di seluruh Terengganu sedang berjalan dan dijangka siap menjelang awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, masalah berkenaan diperbaiki supaya pendaratan hasil tangkapan laut dan proses penyimpanan ikan boleh dibuat secara bersepadu dan mengikut arus terkini.

Katanya, usaha tersebut secara tidak langsung akan mengurangkan risiko kehilangan hasil selepas tangkapan akibat masalah agihan yang berlaku dalam kalangan nelayan.

“Di negeri Terengganu kita ada satu pelabuhan perikanan, tujuh kompleks perikanan dan 15 jeti pendaratan yang akan dikaji dan ditingkatkan infrastrukturnya.

“Kerajaan negeri pada tahun ini telah melaksanakan dua program untuk kita meningkatkan beberapa fasiliti di jeti-jeti pendaratan dan kompleks perikanan, antaranya kita sedang membina rumah sejuk ‘coolroom’ dan juga tempat membaiki ‘bot slipway’ bagi kegunaan nelayan Marang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas (Bajet 2020) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, masalah pengagihan atau rantaian pengeluaran ikan juga dipercayai menjadi punca nelayan memperolehi pendapatan yang tidak lumayan. 

Berikutan itu, pihaknya telah menubuhkan tujuh pasar nelayan yang melibatkan seramai 84 orang peserta bagi tahun 2019.

“Melalui pasar itu, kita dapat memendekkan rantaian pengeluaran daripada nelayan terus kepada pengguna sekali gus membolehkan nelayan boleh dapat margin harga yang lebih baik.

“Dalam masa yang sama pengguna atau rakyat boleh mendapatkan hasil laut yang segar dengan harga yang lebih rendah,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: