Sunday, 17 November 2019

Faiz Nasir Sah Kembali Ke Terengganu FC

SHARE
Faiz Nasir (tengah).
KUALA TERENGGANU, 17 November - Pemain yang mendapat jolokan ‘Messi’ Terengganu, Mohd Faiz Nasir, 27, sah kembali ke pangkuan Terengganu Football Club (TFC) untuk musim depan.

Berita gembira itu diumumkan oleh laman ‘Facebook’ rasmi TFC selepas Faiz Nasir selesai menandatangani kontrak selama setahun hari ini.

Ketua Jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Zain berkata, Faiz Nasir yang pernah bersama TFC sebelum ini mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

“Saya yakin Faiz Nasir mampu memberi impak positif dan kehadiran beliau diharap membantu memperkuatkan lagi pasukan TFC musim depan,” ujarnya ketika dihubungi media.

Sementara itu, Faiz Nasir yang sebelum ini berkelana ke Selangor sudah tidak sabar untuk kembali beraksi bersama TFC setelah membawa pasukan itu muncul sebagai Naib Juara Piala Malaysia 2018.

Faiz Nasir ketika menentang Perak FC pada final Piala Malaysia 2018.
“Saya sangat gembira dan sudah tidak sabar untuk kembali bersatu dengan bekas rakan sepasukan dan membentuk gandingan baharu dibawah kendalian pengendali TFC, Nafuzi Zain,” katanya.

Pemain tengah itu ditandatangani oleh Selangor untuk Liga Malaysia 2019 setelah menampilkan prestasi cemerlang beberapa musim bersama TFC.

Bagaimanapun jodoh Faiz Nasir tidak berpanjangan bersama barisan kejurulatihan dan pengurusan 'Red Giants' apabila Selangor mengumumkan kontrak pemain itu tidak 
disambung untuk saingan 2020.

Pemain kelahiran Kelantan itu juga pernah mewakili skuad Harimau Malaya dan menjaringkan gol untuk membantu Malaysia menewaskan Afghanistan 2-1.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: