Friday, 29 November 2019

Empat Pusat Pemindahan Banjir Dibuka Di Setiu

SHARE
Zamri Embong (kiri) meninjau keadaan banjir di Kampung Merbau Menyusut.
Oleh : Ariss Alias

SETIU, 29 November - Sebanyak empat buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di sini bagi menempatkan penduduk yang terjejas banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam.


Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Setiu, Amizan Aziz berkata, setakat ini tiga PPS dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri manakala sebuah lagi di DUN Langkap.

Katanya, keseluruhan pusat tersebut menempatkan seramai 161 orang mangsa daripada beberapa buah kampung.

“JKM akan terus membuat pemantauan secara berterusan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa ini terjaga,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Merbau Menyusut, Zamri Embong memaklumkan, PPS di kampung beliau mula dibuka secara rasmi pada pukul 2.30 petang tadi.

Masjid Merbau Menyusut yang dijadikan PPS.
“Sehingga kini kita telah menempatkan seramai 42 orang. Bagaimanapun dijangkakan jumlah mangsa akan terus meningkat kerana setakat ini masih dalam proses pemindahan,” jelasnya. 

Menurut portal http://publicinfobanjir.water.gov.my/ tiga sungai di Setiu telah merekodkan bacaan melepasi paras bahaya setakat pukul 4.15 petang ini iaitu Sungai Nerus di Kampung Langkap dengan 21.72 meter (m) melebihi paras bahaya 21 m.

Dua lagi ialah Sungai Setiu di Kampung Besut mencatatkan bacaan 18.35 m melepasi paras bahaya 17.5 m dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok iaitu 8.71 m melepasi paras bahaya 8.40 m.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: