Thursday, 28 November 2019

‘Bulan Madu Kedua’ Atasi Keretakan Rumahtangga

SHARE


 
Hanafiah (dua dari kanan) menuju ke DUN Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), mengadakan Second Honey Moon (Bulan Madu Kedua) bagi memulihkan semula perasaan kasih sayang antara suami dan isteri bermasalah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata, ini bertujuan antara lain bagi mengurangkan peratus penceraian berlaku di kalangan rakyat Terengganu khususnya di daerah Kuala Terengganu.

Di kawasan ini katanya statistik penceraian agak tinggi tahun ini berjumlah 1,745 kes dan hanya 185 kes sahaja pasangan merujuk semula.

Menurut beliau dari Januari sehingga November tahun ini sejumlah 9,081 orang melangsungkan perkahwinan sebagaimana statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT).

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Lobi Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Katanya, antara beberapa sebab berlaku perceraian ialah pasangan menghadapi masalah kewangan, campur tangan keluarga termasuk emak dan ayah, ipar duai dan kurang komunikasi antara pasangan.

Ini termasuk kurang persediaan untuk berkahwin, kurang didikan agama (kurang faham erti perkahwinan), perkahwinan jarak jauh, tidak ambil cakna kepada keluarga, masalah sosial antara suami dan isteri atau ada pihak ketiga dalam rumahtangga.

“Antara penceraian yang paling remeh ialah akibat masakan masin dan juga badan berbau. Ada dua tiga kes yang berlaku di daerah Kuala Terengganu.

“Sebab remeh ialah oleh kerana sewaktu mereka bercinta, mereka tidak merasai masakan antara satu sama lain, ataupun mereka hanya berjumpa sekejap lepas itu mereka berkahwin,” ujarnya.

Antara masalah lain kata ADUN Chukai itu ialah berkahwin dalam usia yang sangat muda.

“Bila berkahwin dalam keadaan demikian, pihak lelaki bila sudah kenal dengan pihak perempuan dan pihak perempuan sudah kenal dengan pihak lelaki.

“Mereka melangsungkan perkahwinan kemudian timbul ketidaksefahaman antara kedua-duanya antara lain menjadikan alasan masakan masin dan badan berbau sebagai alasan perceraian sedangkan selama ini si lelaki tidak pernah pun merasai masakan si perempuan berkenaan,” jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: