Sunday, 17 November 2019

Bot Penambang Seberang Takir Perlu Dinaiktaraf - Dr Mohd Khairuddin

SHARE
Bot Penambang Seberang Takir perlu dinaiktaraf kepada bot pelancong.-Gambar Ihsan dari Facebook Persatuan Bot Penambang Seberang Takir.

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 17 November – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mencadangkan Kementerian Pelancongan Malaysia menaiktaraf bot penambang Seberang Takir menjadi bot pelancong dengan menyediakan geran munasabah bagi tujuan tersebut.

Ahli Parlimen itu juga, menggesa Kementerian Pelancongan Malaysia meningkatkan keupayaan pengusaha bot itu supaya berdaya saing dan memperoleh pendapatan lumayan sekiranya naiktaraf bot disegerakan.

Beliau menggesa demikian ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2020 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Khamis.
 
Dato' Dr Mohd Khairuddin (kiri) bersama ahli parlimen lain keluar dari Dewan Rakyat.
Dato’ Dr Mohd Khairuddin berkata, keperluan Bot Penambang Seberang Takir yang membawa penumpang berulang-alik ke Bandar Kuala Terengganu sudah mengecil apabila Jambatan Sultan Mahmud dan Drawbridge dibina.

“Kementerian berkenaan boleh menyediakan geran untuk meningkatkan lagi keupayaan mereka dari hanya membawa penumpang kepada menjadi bot pelancong.

“Saya mencadangkan agar Kementerian Pelancongan boleh menyediakan geran bagi meningkatkan keupayaan mereka bukan sahaja menjadi Perusahaan Bot Penumpang, malah menjadi sebuah Perusahaan Bot Pelancongan,” jelasnya.

 Menurut beliau perusahaan bot pelancong itu dipercayai relevan untuk membolehkan masyarakat dan pelancong luar dan dalam negeri keluar bersiar-siar dengan menyelusuri Sungai Terengganu.

 Kini katanya, kehidupan pengusaha bot penambang Seberang Takir diumpamakan sebagai hidup segan mati tak mahu dan memerlukan pembelaan dan perhatian daripada semua pihak.

Sementara itu Pengerusi Perusahaan Bot Penambang Seberang Takir, Muhammad Ibrahim berkata, purata pendapatan mereka hanya sekitar RM300 hingga RM500 sebulan.

“Dengan pendapatan kecil itu kami tidak berupaya menampung kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat dan ini amat merunsingkan kami,” jelasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: