Wednesday, 13 November 2019

Bekas Kapten Perak Perkuat Terengganu FC Musim Depan

SHARE
Nasir Basharudin. Foto - Media TFC.

KUALA TERENGGANU, 13 November - Terengganu Football Club (TFC) sah menandatangani dua lagi pemain baharu hari ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia untuk musim 2020.

Bekas kapten Perak dan pemain kebangsaan, Mohamad Nasir Basharudin sah mengikat kontrak selama setahun bersama TFC.

Manakala, pertahanan kiri Felda United musim lalu yang juga anak kelahiran Terengganu, Mohammad Arif Fadzilah bakal memperkuatkan jentera pertahanan TFC musim depan.

Perkembangan terbaharu itu diumumkan oleh laman ‘facebook’ rasmi TFC selepas kedua-dua pemain selesai melengkapkan kontrak.

Ketua Jurulatih TFC, Mohd Nafuzi Zain berkata, beliau yakin kehadiran kedua-dua pemain berpengalaman itu mampu memberikan kekuatan kepada pasukannya.
Nafuzi hadir menyaksikan proses menandatangi kontrak itu.
“Saya gembira dengan kehadiran mereka, pengalaman luas dalam kancah bolasepak Malaysia dan kehadiran Arif diharap dapat memperkemaskan barisan pertahanan TFC.

“Kehadiran Nasir Basharudin juga diharap dapat mengukuhkan lagi jentera tengah pasukan dalam mengharungi perlawanan musim depan,” ujarnya ketika dihubungi media.

Nasir Basharudin dan Arif Fadzilah merupakan pemain kedua dan ketiga yang diikat TFC selepas berjaya menarik pemain sayap Singapura, Faris Ramli menyertai skuad Penyu minggu lalu.

Nasir Basharudin merupakan pemain paling lama berkhidmat untuk pasukan Perak dijangka akan bergandingan dengan Lee Andrew Tuck serta Sanjar Shaakmedov di bahagian tengah.

Pemain yang berusia 29 tahun itu mempunyai 10 kaps bersama skuad kebangsaan dan pernah dipanggil oleh Datuk Ong Kim Swee mewakili skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) dalam temasya Sukan SEA 2013.
Arif Fadzilah.
Sementara itu, Arif Fadzilah juga tidak asing bagi penyokong Terengganu kerana pernah beraksi bersama pasukan T-Team FC dan berjaya membawa pasukan itu menjadi antara pasukan pencabar utama Liga Malaysia pada tahun 2016.

Dia pernah bersama pasukan TFC II selama setahun sebelum mendapat tawaran dari skuad Felda United pada musim 2019. 



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: